BAU: Seramai 350 pelajar di Daerah Bau menerima bekalan sekolah berupa pakaian seragam, kasut, stokin, beg sekolah, botol air dan kotak alat tulis daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas), hari ini.
Menurut satu kenyataan, program Petronas Menyokong Pengetahuan: Kembali ke Sekolah 2025 @ Bau yang diadakan di SMK Lake di sini, menyaksikan pelajar-pelajar dari SMK Lake, SMK Bau, SMK Paku, SK Bau, dan SJKC Taiton menerima barangan tersebut.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, mewakili ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan (Maritim dan Sungai).
Menurut Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, usaha ini mencerminkan komitmen Petronas terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Semalam, Petronas turut mengedarkan barangan yang sama kepada 91 pelajar di SK Salak di Pulau Salak, Kuching.
Di bawah program yang sama, Petronas juga memberi baucar kepada 252 pelajar di bawah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri untuk membeli bekalan sekolah asas.
“Program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dengan menyediakan bekalan sekolah asas untuk anak-anak mereka.
“Ia juga bertujuan untuk memastikan pelajar, terutamanya dari latar belakang kurang mampu, tidak menghadapi halangan dalam pendidikan mereka disebabkan oleh kekangan kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, program ini akan diperluaskan ke kawasan lain di Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri, yang dijangka memberi manfaat kepada 760 pelajar.