
PETRA JAYA: Perkhidmatan Bas Elektrik Kuching Metro telah memperkenalkan penambahbaikan besar, termasuk mengurangkan masa perjalanan dan menambah bilangan laluan harian.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, laluan bas 103 yang telah diselaraskan semula bermula 1 Februari depan, dengan titik permulaan baharu di Pasar Open Air Kuching bagi menggantikan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Perubahan ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan bagi penumpang, sambil menyokong perniagaan di kawasan sekitar.
“Dengan penyelarasan semula ini, penumpang akan menikmati kesalinghubungan yang lebih baik antara perkhidmatan Bas Elektrik Kuching Metro dan sistem ART di Stesen Hikmah Exchange yang akan datang.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak terhadap pembangunan mampan dan usaha menjadikan rantau ini destinasi utama ekopelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Penyelarasan Semula Laluan Bas Elektrik 103 di Aras 17, Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini.
Menurut jadual baharu, masa perjalanan untuk satu pusingan laluan telah dikurangkan daripada dua jam kepada satu jam setengah, sekali gus menjadikan perkhidmatan ini lebih cekap.
Bas akan berkhidmat seawal 6.00 pagi sehingga 4.30 petang.
Bilangan laluan harian juga akan ditingkatkan daripada 12 kepada 16, sekali gus mengurangkan masa menunggu bagi penumpang.
Bas elektrik ini, yang mula beroperasi pada Mac 2021, menawarkan perkhidmatan percuma kepada penduduk tempatan dan pelancong, lengkap dengan kemudahan Wi-Fi di dalam bas untuk keselesaan.
Perkhidmatan ini juga menyokong inisiatif mobiliti hijau kerajaan Sarawak, yang bertujuan mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan ekopelancongan.
Dalam memastikan pengalaman perjalanan lebih mudah dan cekap untuk penduduk tempatan serta pelancong, laluan baharu ini menyokong akses ke tarikan popular di bandar raya Kuching, termasuk Muzium Budaya Borneo, dan Muzium Maritim.
Oleh Amanda L.