BINTULU: Kira-kira 500 penduduk dari enam rumah panjang di Bintulu kini dapat menikmati bekalan air bersih, hasil pelaksanaan Projek Air Hope Care – Basis of Life.
Projek bernilai RM365,011 itu dilaksanakan oleh Kelab Rotary Bintulu Central (RCBC) dengan sokongan dana daripada badan kebajikan LDS Charities.
Ia bermula pada November 2023 dan siap sepenuhnya pada Mei 2024.
Menurut Presiden RCBC, Allen Wong Ching Seng, projek ini direka untuk menyediakan sistem bekalan air yang mampan kepada penduduk di Rumah Semanggat, Rumah Gelayan, Rumah Jan, Rumah Enjan, Rumah Tait, dan Rumah Menggat.
Melalui pemasangan sistem graviti dan takungan air hujan, katanya, komuniti terbabit kini mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk keperluan harian mereka.
“Penduduk sendiri turut serta dalam usaha gotong-royong bagi memastikan projek ini berjalan lancar, sekali gus memupuk rasa tanggungjawab terhadap sistem ini,” katanya ketika majlis simbolik penyerahan projek tersebut di Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, baru-baru ini.
Difahamkan, projek tersebut turut mendapat kerjasama daripada Unit Bekalan Air dan Sanitasi Alam Sekitar (Bakas) yang diketuai oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr. Melvin Chung Hsien Liang.
Dr. Melvin berkata, akses kepada air bersih dan sanitasi yang baik adalah keperluan asas setiap individu serta sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kita harus mengutamakan keperluan masyarakat tempatan, terutama di kawasan luar bandar, untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada air bersih,” katanya.
Beliau menjelaskan, peruntukan tahunan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk projek bekalan air di kawasan luar bandar adalah terhad, dan banyak rumah panjang terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan.
“Kami bukan sahaja mempercepat projek ini, tetapi juga menambah nilai dengan memastikan komuniti luar bandar mendapat akses kepada air yang ditapis dan bersih,” ujarnya.
Sistem bekalan air yang dibangunkan itu akan diselenggara oleh jawatankuasa rumah panjang masing-masing dengan sokongan teknikal berterusan daripada Bakas, termasuk pemeriksaan berkala terhadap kualiti air.
Oleh Carolyne Utih