KUCHING: Seorang bekas Datuk Bandar dan bekas pengurus besar sebuah syarikat media, yang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes pengubahan wang haram dalam Op Ragada, telah dibebaskan, lewat petang semalam.
Menurut sumber, seorang lelaki berusia 67 tahun dan seorang wanita bergelar ‘Datuk’ berusia 71 tahun telah ditahan di sini, sekitar 2.00 petang, semalam.
Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sekitar 6.00 petang selepas keterangan mereka direkodkan.
Sehingga kini, sebanyak tujuh individu telah ditahan dalam Op Ragada, terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 62 tahun.
Semalam, Mahkamah Majistret Kuching telah mereman seorang lelaki berusia 53 tahun dan seorang wanita berusia 62 tahun selama dua hari, sebelum mereka diterbangkan ke Kuala Lumpur malam ini.
Media pada Jumaat lalu melaporkan bahawa lima individu berusia antara 26 hingga 62 tahun telah ditahan dalam Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.
Penahanan itu susulan maklumat risikan yang mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan melibatkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September tahun lalu.
Suspek dipercayai terlibat dalam penipuan tender serta menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.
Dalam serbuan yang dijalankan, pasukan AMLA Bukit Aman telah menyita dan membekukan pelbagai aset, termasuk kenderaan, akaun bank, dan dokumen, yang dianggarkan bernilai RM17.4 juta.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 409, Seksyen 420 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Oleh Mohd Neenatul Aizal