DALAM tempoh selang tiga hari baru-baru ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuat kenyataan terbuka mengenai kepemimpinan masa depan Sarawak.
Pertama ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Sibu Sabtu lalu, apabila antara lain Premier Sarawak berharap tidak berlaku masalah dalam parti itu apabila beliau berundur suatu hari nanti.
Sebaliknya kata Presiden PBB itu, beliau mahu meninggalkan legasi sebuah parti yang kuat dan dipimpin oleh mereka yang bijak serta tahu mengenai sains dan teknologi baharu.
“Saya dah 74 tahun (umur), bilakah (masa kepimpinan saya tamat)… namun saya ingin tinggalkan (legasi) PBB yang kuat serta anak Bumiputera yang bijak dilengkapi dengan kepakaran dalam sains dan teknologi baru,” katanya.
Tiga hari kemudian, Abang Johari bercakap pula mengenai dasar kerajaan Sarawak selepas Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang akan berakhir lima tahun lagi.
Katanya, terserah kepada pemimpin muda untuk meneruskan Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), selepas 2030 kerana masa depan negeri ini bergantung kepada generasi pelapis untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan menghadapi cabaran era baharu.
“Saya sudah berumur 74 tahun. PCDS 2030 akan berakhir dalam tempoh lima tahun lagi. Selepas itu, kepimpinan negeri akan memerlukan pelapis yang dapat meneruskan asas yang telah kita bina dalam PCDS ini,” katanya ketika sesi Townhall Lapan Tahun Bersama YAB Premier Sarawak di Pusat Acara Hikmah Exchange, di Kuching malam Isnin lalu.
Dua kali beliau menyebut usianya sudah mencecah 74 tahun di dua acara berasingan itu. Sebelum ini pun, Abang Johari juga ada menyebut angka umurnya tetapi kali ini bagaikan memberi bayangan ‘apakah pemimpin yang lebih muda bersedia untuk mengambilalih?
Namun bayangan itu bagaikan ‘ditolak’ oleh ahli dari 24 cawangan PBB yang hadir di Stadium Tertutup Sibu Sabtu lalu.
Malah usul turut diluluskan untuk memberi sokongan padu kepada Abang Johari untuk terus menerajui PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memacu kestabilan politik Sarawak dan Malaysia.
Usul itu juga mahu tiada pertandingan bagi jawatan presiden sehingga naib presiden kanan parti pada Konvensyen ke-16 PBB di Kuching 14 Februari depan.
Abang Johari berkata, ahli-ahli PBB harus menentukan tiada sebarang masalah timbul yang boleh menggugat keutuhan parti keramat itu yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan Sarawak.
Dalam ucapannya itu, Abang Johari menceritakan mengenai peralihan kepemimpinan daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan.
PERALIHAN PIMPINAN
“Peralihan kepimpinan dari Tun Abdul Taib kepada Tok Nan dan seterusnya kepada saya telah berlaku tanpa sebarang masalah. “Alhamdulillah”, katanya ringkas apabila soalan yang dilontarkannya itu mendapat jawapan ‘tidak’ daripada lebih 2,700 perwakilan yang hadir.
Reaksi spontan perwakilan itu mungkin kerana mendapat bayangan bahawa peralihan kuasa akan berlaku selepas Abang Johari tetapi mereka bagaikan mahu Premier Sarawak terus memimpin.
Rakyat Sarawak maklum betapa Sarawak pimpinan Abang Johari kini membawa banyak manfaat, sehingga hasil Bumi Kenyalang iaitu anggaran RM14.2 bilion untuk tahun ini, mengatasi hasil 11 negeri di Semenanjung jika dirangkumkan semuanya cuma RM12.83 bilion.
Ini fakta. Ini belum lagi limpahan hasil gas untuk tahun ini setelah Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak yang selama ini dikuasai Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Malah, Abang Johari baru-baru ini memberi bayangan bahawa hasil pendapatan Sarawak boleh mencecah RM20 bilion dalam tahun ini. Bayangkan pada 2017 hasil Sarawak cuma kira-kira RM5 bilion hingga RM6 bilion.
Rakyat sendiri merasai limpahan projek pembangunan terutama pembinaan tujuh jambatan utama, sekali gus bakal mengakhiri episod penggunaan feri.
Sejumlah RM5 bilion telah diperuntukkan bagi membina tujuh jambatan di jalan pesisir negeri ini termasuk Jambatan Batang Lassa di Daro yang sudah siap dan baru dibuka kepada orang ramai.
Siapnya Lebuh Raya Pan Borneo, bagaikan mimpi indah kerana perjalanan lancar dan begitu juga lebuh raya pesisir.
Malah, Abang Johari tetap dengan pendirian untuk terus memperjuangkan hak-hak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sebahagiannya sudah dikembalikan kepada Sarawak. Laluan ke arah itu sudah dirintis oleh Tok Nan sebelum ini.
Atas fakta ini semua, menyebabkan rakyat masih mahu Abang Johari untuk kekal memimpin.
Namun, sebagai manusia biasa, tiada pemimpin di dunia mampu memimpin untuk selamanya dan pasti suatu hari nanti akan berlaku perubahan kepemimpinan.
Ini berlaku di mana-mana negara atau negeri. Pemimpin pergi dan datang.
Tetapi pemimpin yang bijak sudah pasti menyediakan pemimpin pelapis sebagai pengganti.
Namun, apabila Abang Johari menyebut bahawa peralihan kuasa sebelum ini daripada Tun Taib kepada Tok Nan dan kemudian beliau sendiri tiada masalah timbul… apakah sudah wujud bayang-bayang akan berlaku perebutan selepas ini?
Sejarah dalam parti politik membuktikan berlaku ‘kocakan’ sama ada kecil atau besar apabila berlaku kekosongan di puncak. Ini kerana strukturnya berbentuk piramid, semakin mengecil di atas yang akhirnya diduduki oleh seorang saja.
Maknanya, ramai pemimpin muda daripada peringkat majlis tetinggi, kemudian Ketua Wanita dan Pemuda, disusuli kelompok Naib Presiden, Naib Presiden Kanan dan Timbalan Presiden dalam PBB… tetapi jawatan Presiden hanya satu.
Semua tahu akan hakikat ini tetapi ramai juga tidak tahu betapa perit jerit perjalanan seseorang untuk naik di puncak.
Ada masa diketepikan, disisih tetapi berjaya bangkit semula seperti yang pernah dilalui oleh Abang Johari sendiri.
PELAPIS
Oleh itu, pemimpin pelapis adalah harapan masa depan parti dan negeri.
Wujudnya Sayap Belia PBB akan menjadi platform baharu untuk mencungkil bakat termasuk sebagai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jika betul gayanya, Sarawak tidak akan ketandusan pemimpin.
Ketika berucap melancarkan Sayap Belia PBB di Sibu tahun lalu, Abang Johari berkata memang lumrah pemimpin pergi dan datang, tetapi ada yang mahu cepat naik, ada yang di tengah-tengah dan ada pula yang terlalu ‘slow’.
“Jadi, nya empun keadaan mesti pandei, kalau tidak kapal belayar kalau ia bergoncang di laut, kapten tak betul, nya karam.
Selalunya kelasi tok dilatih, dalam kapal dilatih, sapa jaga tali, sapa jaga sauh, sapa jaga enjin, sapa jaga kompas, sapa jadi kapten… jangan lawan kapten, baru kapal ia belayar dengan baik.
“Alhamdulilah perahu bernama PBB berjalan dengan baik, walaupun ditiup angin yang kencang. Sejarah 1987 kencang, banyak lagi angin-angin yang lain tetapi tetap kapal belayar dengan begitu baik,” katanya yang bermula dalam PBB melalui pergerakan Pemuda.
Abang Johari dipercayai merujuk kepada peristiwa 1987, apabila tercetus episod pahit dalam sejarah politik Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib apabila bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman dikatakan mahu menggulingnya.
Peristiwa itu kemudian dikenali sebagai peristiwa ‘Ming Court’, mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur – tempat berkumpulnya sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sarawak untuk menjatuhkan Abdul Taib, sekali gus memaksa beliau membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis.
BN hanya menang 28 daripada 48 kerusi DUN. Populariti BN Sarawak menurun daripada 59.17 peratus pada 1983 kepada 55.24 peratus pada pilihan raya 1987.
Peristiwa Ming Court adalah usaha rampasan kuasa politik yang bermula pada 1983, berkembang menjadi krisis politik penuh ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 1987, dan berakhir selepas Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) dibubarkan pada 1991.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.