PERKEP Kontinjen Sarawak komited perkasa pendidikan anak-anak

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak terus komited untuk terus memperkasa pendidikan anak-anak dengan menyalurkan bantuan kepada 150 penerima yang layak.

Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Jennita William berkata inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga untuk menyediakan kelengkapan anak-anak pada sesi persekolahan akan datang.

”Pendidikan adalah kundi masa hadapan dan PERKEP Kontinjen Sarawak ingin memastikan bahawa anak-anak yang kurang bernasib baik tidak ketinggalan untuk mendapatkan bantuan bagi memenuhi keperluan untuk kembali ke sekolah pada sesi pembukaan sekolah pada masa akan datang.

”Bantuan ini berupa wang tunai yang disumbangkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) pada 3 April 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan Bantuan Kembali ke Sekolah, Apresiasi Anak Cemerlang dan Bantuan IPT di MES Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, bantuan itu diserahkan kepada tujuh anak yatim, 11 anak istimewa dan sembilan anak-anak daripada keluarga yang layak mendapat bantuan.

Selain itu, katanya, PERKEP Kontinjen Sarawak turut meraikan 15 pelajar cemerlang yang merupakan anak-anak pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang berkhidmat di IPK Sarawak serta di Formasi Sarawak.

Katanya, kesemua pelajar yang menerima sumbangan telah memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 serta mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif  (CGPA) 3.5 ke atas dalam semester akhir Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), SPMV (sijil), diploma dan ijazah sarjana muda.

”Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ketua keluarga di samping menyunting semangat melangkah ke hadapan mencapai cita-cita mereka.

”Saya berharap pada masa akan datang lebih banyak pihak menyumbang kepada PERKEP untuk tujuan kebajikan dan pendidikan anak-anak PDRM,” tambahnya.

Oleh Rynna Sha’erra

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.