BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) bakal menganjurkan program Derma Darah Kolej Sri Rajang (KSR) 2025 bertemakan ‘Life is in Your Blood’, 25 Januari ini.
Program tersebut akan diadakan di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB di sini, bermula 8.30 pagi hingga 1.30 petang.
Menurut kenyataan UPMKB, program itu bertujuan menambah bekalan darah bagi membantu golongan memerlukan serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah.
Penyertaan terbuka kepada individu berumur 18 hingga 60 tahun dengan berat badan minimum 45 kilogram (kg) dan berada dalam keadaan sihat.
Penderma juga perlu memastikan mereka tidak mengambil sebarang ubat-ubatan atau alkohol dalam masa terdekat, mendapatkan tidur sekurang-kurangnya lima jam, dan bagi wanita, tidak berada dalam fasa menstruasi.
Pelajar yang menyertai program tersebut juga akan menerima e-Merit sebagai galakan.
Orang ramai digalakkan untuk menyertai kempen itu dan memainkan peranan dalam membantu mereka yang memerlukan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Syamer di talian 019-762 2797 atau Farrah di talian 011-5505 1419.