KUCHING: SMK Bandar Kuching No.1 kini bersedia bagi menerima kehadiran pelajar Tingkatan Lima setelah kira-kira tiga minggu membuat persiapan.
Pengetuanya, Sandy Wong Lai Kee berkata, sejak pengumuman oleh Menteri Pendidikan, Mohd. Radzi Md. Jidin mengenai pembukaan semula sekolah untuk murid-murid Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam, sekolah tersebut telah melakukan kerja sanitasi dan menyusun strategi bagi seluruh kawasan sekolah dengan sepenuh tenaga.
“Sekolah ini amat menghargai bimbingan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching yang telah mengadakan lawatan untuk memeriksa prosedur dan membantu pihak sekolah untuk memenuhi segala keperluan.
“Keselamatan, kebersihan dan penjarakan sosial murid di sekolah amat dititik beratkan dari waktu mereka tiba sehingga mereka pulang ke rumah,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata, sejurus Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang diedarkan pada 4 Jun lalu, beliau bersama pasukan pentadbir telah berusaha tanpa mengenal erti penat lelah dalam memastikan semua aspek sekolah diperiksa dan murid terpelihara.
“Dalam usaha memastikan kebersihan sekolah yang optimum, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak telah dihubungi untuk menyahkuman seluruh sekolah.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengatasi wabak sangat penting dan semua murid mesti mematuhi peraturan pada setiap masa,” ujarnya.
Beliau berkata hal ini termasuk semasa berada di tandas dan semasa rehat selain membersihkan tangan dan pemeriksaan suhu badan semasa tiba di sekolah pada waktu pagi.
“Buat masa ini, pelajar tidak dibenarkan ke kantin tetapi makanan yang dibungkus akan dihantar ke kelas dan pelajar dibenarkan makan di dalam kelas masing-masing.
“Malah, ruangan tandas hanya dapat menampung sehingga tiga pelajar dalam satu-satu masa untuk menjaga penjarakan sosial,” jelas Sandy.
Beliau mengatakan dengan adanya prosedur yang sentiasa dipatuhi, ibu bapa tidak harus berasa bimbang menghantar anak mereka ke sekolah kerana keselamatan murid adalah keutamaan pihak sekolah.
“Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka mengamalkan penjarakan sosial secara berterusan,” ujar beliau.
Oleh Alexandra Lorna