SARIKEI: Idea pendigitalan pendidikan diterima pada hampir semua peringkat pembelajaran dari tadika hingga ke institusi pengajian tinggi, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, idea ini adalah transformasi sistem pendidikan di Malaysia yang bertujuan mewujudkan barisan pendidik serta murid yang kreatif, inovatif, cekap dan bersemangat sejajar dengan keperluan zaman dan seiring juga dengan kehendak Revolusi Industri 4.0.
“Pendigitalan pendidikan ini sangat penting kepada Kementerian Pendidikan (KPM), pendidik serta masyarakat agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“Hala tuju Dasar Pendidikan Digital (DPD) adalah untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
“Oleh itu, strategi dan inisiatif disusun agar sejajar dengan objektif DPD, iaitu membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital, mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan, memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital, dan mengoptimumkan pelibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis apresiasi kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sentebu bertempat di Dewan SK Sungai Sentebu, hari ini.
Katanya, melalui DPD, pendidik perlu berperanan untuk meningkatkan pengetahuan dan kompetensi digital secara berterusan untuk memudah cara dan membantu mencapai keberhasilan murid yang dihasratkan.
“Kerajaan berperanan sebagai peneraju dan pemboleh daya bagi memastikan agenda Pendidikan digital berjaya dicapai.
“Ibu bapa berperanan untuk membantu pembelajaran serta mengikuti perkembangan dan pencapaian pendidikan murid.
“Ibu bapa perlu memastikan persekitaran pembelajaran digital yang kondusif bagi membolehkan murid memperoleh pengetahuan dan kemahiran serta beretika,” katanya lagi.
Oleh itu, katanya, kerjasama semua pihak berkepentingan amat diperlukan bagi mengoptimumkan manfaat Pendidikan Digital.
“Penggemblengan tenaga perlu dipertingkatkan untuk memupuk, memugar dan menyuburkan ekosistem pendidikan digital bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing pada masa depan,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei Lau Ngie Tung, Guru Besar SK Sungai Sentebu Nor Hayati Abdulrani, dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Sentebu Tuai Rumah Naning Undong.
Oleh Earl Anek