KETIKA dunia terus berubah dengan pantas, dinamik politik tidak terkecuali daripada perubahan ini.
Cabaran baharu memerlukan pendekatan segar, dan Malaysia mula menjawab keperluan itu dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif sekolah politik.
Ia menjadi ruang buat setiap warganegara, terutamanya generasi muda, untuk memahami demokrasi, tanggungjawab dan peranan mereka dalam membina masa depan negara.
GENERASI MUDA, INSPIRASI DEMOKRASI
Ketika usia muda, seorang anak muda tidak menyangka yang bermula dengan langkah kecil tetapi mampu memberikan impak besar.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, tidak menyangka bahawa ciapan bersahaja di twitter yang mengandungi pautan ke borang penyertaan DAP akan mencetuskan minat luar biasa kalangan anak muda.
Dalam tempoh 24 jam, ratusan borang diterima, menunjukkan gelombang baru minat terhadap politik kalangan generasi muda Melayu.
Sudah pasti situasi ini dapat membuka mata parti politik berteraskan Bumiputera di Sabah dan Sarawak betapa peranan teknologi, perluasan penyertaan ahli politik perlu digerakkan dengan media baharu seperti di twitter dan tiktok.
Kuasa baharu platform ini mempunyai magika politik yang luar biasa. Ada kalanya kita perlu belajar dari parti-parti moderat yang membuka ruang politik seluas-luasnya dengan pembukaan sekolah politik yang menjadi sebutan kalangan anak-anak muda yang dahagakan ilmu politik yang luas.
Kerdahagaan ini termasuk keterujaan terhadap konsep seperti kuasa dan autoriti, demokrasi dan penyertaan, ideologi politik, konflik dan konsensus, perwakilan dan akauntabiliti, ilmu geopolitik antarabangsa dan sebagainya.
SEKOLAH POLITIK
Ada parti belum lagi memikirkan pembentukan sekolah politik untuk perkaderan anak-anak muda mereka.
Ada parti politik membuka pelbagai jenis sekolah politik seperti sekolah permulaan politik, sekolah politik lanjutan dan pula menamakan sebagai Sekolah Demokrasi.
Yang lebih terkedepan, terdapat juga melepasi sekolah politik lalu menamakan sekolah politik yang sudah lama ditubuhkan kepada Maktab Politik.
Sama ada sekolah politik mahupun maktab politik, pasti di belakangnya mempunyai badan penasihat dari parti politik tertentu.
Tujuan penubuhan ialah untuk mencerdaskan pemikiran anak muda bagi melengkapi ilmu politik dan melengkapkan persediaan sebagai anak muda terlibat dalam dunia demokrasi.
Ada yang berminat dalam dunia aktivitis parti, ada pula berminat menyertai politik kepartian parti secara langsung.
Yang pentingnya mereka mahu ilmu politik yang praktis, asas teori politik, menjadi sang pencerah dan bukannya terperangkap dalam retorik politik yang sempit.
Bagi pencerdasan topik seperti memahami demokrasi, sosialisme, liberalisme, konservatisme, nasionalisme, anarkisme, autoritarianisme, memahami teokrasi sehingga untuk memahami konsep polyarchy atau disebut sebagai demoktrasi liberal. Namun aspek pengenalan kerajaan tempatan, pengalaman berada dalam dan luar kerajaan bagi parti politik adalah penting untuk perkongsian sebagai jambatan pemahaman terhadap sistem politik tempatan.
CABARAN DIGITAL, POTENSI BESAR
Di era digital ini, cabaran untuk memupuk kepimpinan dalam kalangan anak muda semakin kompleks.
Gejala sosial yang dicetuskan oleh penggunaan gajet, ditambah dengan pengaruh aplikasi seperti TikTok, sering dikritik sebagai “membunuh” jati diri anak muda.
Naratif ini memberi gambaran negatif, namun adakah ia adil untuk mengatakan generasi muda negara mulai kehilangan hala tuju? Sebaliknya, cabaran ini seharusnya dilihat sebagai peluang untuk membentuk generasi muda yang lebih kritis.
Di sinilah sekolah politik memainkan peranan penting. Ia bukan sahaja mengisi kekosongan pemahaman politik tetapi juga menyediakan peluang untuk mereka belajar tanggungjawab, demokrasi, dan sistem pemilihan.
Dunia yang kita diami kini akan dipimpin oleh mereka, dan persiapan yang holistik adalah kunci untuk memastikan masa depan negara berada di tangan yang betul.
MELAHIRKAN PEMIMPIN MASA DEPAN
Di Malaysia, pendidikan politik bukanlah perkara baharu. Institut Kajian Dasar (IKD) dan Sekolah Demokrasi yang diasaskan oleh DAP telah menjadi pemangkin kepada pembentukan pemimpin mahasiswa seperti Iman Najaa (Demokrat UM) dan Amin Mubarak (Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional).
Sementara itu, PKR melalui Angkatan Muda Keadilan(AMK) pernah menggerakkan Akademi KEADILAN Masa Depan, yang diterajui oleh salah seorang wakil rakyat mereka bagi untuk menyediakan platform pendidikan politik yang sistematik.
Ada juga penubuhan Akademi Bangsa yang diasaskan orang politik dari parti Bersatu yang dijadikan platform penting dalam membentuk generasi pemimpin parti mereka.
Parti Amanah pula melancarkan SCHOLAR, satu inisiatif pendidikan politik untuk membimbing anak muda yang berjiwa Islamis.
Pernah juga pemimpin UMNO seperti Hishammuddin Hussein mendukung Generasi Neo (O2 Malaysia) dengan Bengkel Patriotisme dan Negara Bangsa bagi melengkapkan usaha untuk membentuk kefahaman politik dan sivik generasi baharu.
KOMITMEN PARTI-POLITIK MALAYSIA
Dalam usaha mendekati generasi muda, parti politik di Malaysia telah memperkenalkan program-program pendidikan politik.
Sambutan hangat dalam program pertamanya menunjukkan minat besar anak muda terhadap pendidikan politik.
PKR misalnya memperkenalkan SWAN (Sekolah Wanita), satu inisiatif yang didedikasikan untuk mendidik wanita tentang demokrasi dan politik tanpa mengira latar belakang.
Dipimpin oleh Fadhlina Sidek, SWAN menawarkan modul seperti advokasi, perundangan, dan ekonomi, dengan matlamat untuk melahirkan pemimpin wanita yang berkemahiran tinggi.
Sambutan hangat dalam program menunjukkan minat besar anak muda terhadap pendidikan politik. UMNO turut memperkenalkan sekolah politiknya sendiri, Sekolah Politik UMNO berpusat di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik.
Dengan fokus kepada asas kenegaraan, perlembagaan, dan dinamika politik demokrasi, UMNO berharap untuk melatih pemimpin muda yang bersedia mendepani cabaran masa depan.
CABARAN DAN HARAPAN
Meskipun usaha pendidikan politik ini membuka peluang besar, ia tidak bebas daripada cabaran.
Salah satu isu utama adalah memastikan modul pendidikan yang disediakan bersifat relevan dan inklusif, bukannya hanya teori kosong atau propaganda politik.
Generasi muda perlu didedahkan kepada isu-isu semasa seperti ketidaksamaan ekonomi, perubahan iklim, dan polarisasi politik agar dapat memahami konteks cabaran sebenar dunia politik.
Selain itu, dialog rentas parti perlu dijadikan sebahagian daripada program ini untuk memupuk perpaduan nasional.
Tanpa elemen ini, pendidikan politik hanya akan melahirkan pemimpin yang berpihak, bukan pemimpin yang berkhidmat untuk semua.
MASA DEPAN PENDIDIKAN POLITIK
Pendidikan politik mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kepada transformasi demokrasi di Malaysia.
Anak muda yang terlibat dalam sekolah politik ini tidak hanya memahami sistem pentadbiran negara tetapi juga menguasai nilai etika, tanggungjawab moral, dan kesedaran sivik.
Dengan persiapan yang betul, mereka mampu mentadbir negara dengan bijak dan berintegriti.
Namun, kejayaan ini hanya akan menjadi realiti jika usaha ini dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Pihak penganjur perlu memastikan program ini benar-benar memberi manfaat kepada generasi muda tanpa kepentingan politik sempit.
MENGHIDUPKAN DEMOKRASI, MEMBENTUK PEMIMPIN
Sekolah politik yang diperkenalkan oleh pelbagai pihak di negara ini adalah langkah penting ke arah memperkukuh demokrasi dan membentuk generasi pemimpin masa depan.
Dalam dunia yang semakin mencabar, pendidikan melalui sekolah politik yang khusus adalah kunci kepada pembentukan negara yang progresif dan inklusif.
Sudah tiba masanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu pun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengambil inisiatif menubuhkan sekolah politik bagi anak-anak muda tempatan sebagai asas membina generasi pemimpin masa depan.
Sekolah politik sesungguhnya adalah fenomena global bukan sahaja parti di negara ini, malah turut rancak berlaku di ASEAN, Eropah atau negara pdunia yang lain.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).