SIBU: Kerajaan Sarawak telah memberikan geran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi akibat pengecualian cukai pintu yang diberi kepada rumah panjang dan kediaman dengan cukai pintu rendah.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, geran tersebut bertujuan memastikan PBT terus berfungsi dengan efisien meskipun kehilangan pendapatan daripada pengecualian cukai pintu.
“Sejak 2017, kerajaan negeri telah memberikan pengecualian cukai pintu kepada rumah panjang dan kediaman yang mempunyai cukai pintu kurang daripada RM50 sebulan.
“Bagaimanapun, pengecualian ini menyebabkan PBT mengalami kekurangan pendapatan.
“Oleh itu, kami memberi geran untuk menampung kekurangan tersebut, walaupun jumlahnya masih belum mencukupi kerana PBT kini lebih terbeban dengan tuntutan perkhidmatan yang semakin meningkat,” katanya.
Penguang berkata demikian ditemui di majlis penyampaian Hadiah Program Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Tengah 2024 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, hari ini.
Tambah Penguang, kerajaan negeri kini sedang mencari kaedah alternatif untuk membantu PBT meningkatkan sumber pendapatan tanpa membebankan rakyat, kerana mengenakan semula cukai pintu dianggap tidak etikal.
Pada majlis yang sama, Penguang turut menyentuh mengenai pentingnya pertandingan kitar semula dalam menyemai semangat cintakan alam sekitar di kalangan kanak-kanak sekolah dan rakyat setempat.
Beliau berharap usaha ini dapat mengurangkan pencemaran dan kesan perubahan iklim dengan menggalakkan budaya kitar semula.
“Meskipun ini mungkin satu langkah kecil, namun ia penting untuk membudayakan semangat cinta kepada alam sekitar,” ujarnya.
Sebanyak 30 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah di zon tengah menyertai pertandingan ini.
Dalam kategori sekolah rendah, juara dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiong Ho, Sarikei, diikuti oleh SJKC Hang Kwong dan SJKC Nang Kiang.
Bagi kategori sekolah menengah, SMK Tong Hua, Bintangor meraih tempat pertama, diikuti SMK Methodist, Sibu dan SMK Kampung Nangka, Sibu.
Anugerah khas bagi kutipan aluminium tertinggi dimenangi oleh SJKC Wah Man, Sarikei dan SMK Chung Hua, Sibu, sementara kutipan plastik tertinggi dimenangi oleh SJKC Thian Hua, Sibu dan SMK Methodist, Sibu.
Anugerah kutipan sisa buangan elektronik (e-waste) tertinggi pula diraih oleh SK Lubok Bemban, Mukah dan SMK Methodist, Sibu.
Oleh Tarani Lanting