SARATOK: Generasi yang cemerlang tidak hanya bergantung kepada kejayaan dalam bidang pendidikan tetapi juga berupaya membaca, menghayati dan memahami al-Quran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kecemerlangan seseorang individu itu bukan hanya bergantung kepada pencapaian pendidikan akademik tetapi juga dalam ilmu agama.
“Jika ini dapat diseimbangkan, generasi masa depan adalah generasi yang cemerlang dan amat bernilai. Ibu bapa yang mahukan anak mereka menjadi generasi cemerlang dan bernilai pada masa akan datang sudah tentu akan menitik beratkan pencapaian pendidikan akademik dan juga ilmu agama.
“Generasi yang berupaya membaca, menghayati dan memahami al-Quran sudah tentu berupaya mengetahui formula terbaik bagi meraihkan kecemerlangan dan juga menjadi benteng sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan majlis Khatam al-Quran di Dewan Elias Tandok Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang dekat sini hari ini. Seramai 22 orang murid tahun enam SK Kampung Kupang telah diraikan pada majlis tersebut.
Menurut Guru Besar SK Kampung Kupang, Maseri Matnor, majlis yang dianjurkan ini merupakan program tahunan yang bertujuan memberikan pengiktirafan kepada murid-murid khususnya yang berada di tahun enam dan telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran mereka.
“Objektif utama program ini adalah bagi memberi galakan dan perangsang terutamanya kepada murid-murid di peringkat tahun lima ke bawah supaya memegang tekad menghabiskan bacaan al-Quran sebelum mencecah usia 12 tahun.
“Melalui program ini juga, murid-murid akan bersungguh-sungguh untuk khatam dan secara tidak langsung mereka akan membaca kitab suci itu setiap hari dan mengamalkan amalan yang terdapat di dalam kitab suci itu,” katanya.
Oleh Adi Safarman