SKRANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menghantar bantuan bencana banjir berupa kit makanan kepada lima rumah panjang dan sebuah sekolah yang terjejas akibat banjir di sini, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu Leftenan Desem Samuel berkata, lima rumah panjang itu ialah Rumah Jangin Kejemut, Rumah Landan Tabut Ulu, Rumah Jerukan Tembong, Rumah Harry Tembong, Rumah Karin Tabut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tabut.
“Pihak kita (APM) telah membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar sebanyak 266 kit makanan telah dihantar ke lima rumah panjang serta sebuah sekolah yang telah terjejas banjir pada beberapa hari lalu,” katanya.
Operasi menghantar kit makanan kepada penduduk itu telah disertai oleh APM Betong, APM Sri Aman, JKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Mengulas lanjut, Desem berkata rata-rata kawasan yang terjejas banjir iaitu di kawasan Lipat Ulu, Skrang itu telah dinaiki air sedalam 0.5 meter dan tidak dapat di lalui oleh kenderaan kecil dan besar.
“Walaupun keadaan di semua kawasan terjejas itu agak terkawal, namun APM akan sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan dari semasa ke semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.
“APM telah mula siap sedia dengan mengarahkan anggota bersiap sedia 24 jam dan akan dikerahkan bila-bila masa jika perlu atau ada mangsa yang terpaksa dipindahkan,” katanya.
Oleh Adi Safarman