PETRA JAYA: Jepun telah menunjukkan minat yang mendalam untuk menjalin kerjasama dengan Sarawak dalam usaha membangunkan ammonia sebagai sumber tenaga alternatif bagi penjanaan kuasa, selaras dengan komitmen negeri ini terhadap agenda tindakan iklim dan kelestarian yang semakin mendalam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu adalah sebahagian usaha strategik Sarawak untuk mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju dalam teknologi canggih dan perkongsian global bertujuan menjamin masa depan lebih hijau dan lestari.
“Lawatan kerja ke Tokyo pada Disember lalu telah memperkukuhkan hubungan strategik dengan syarikat-syarikat Jepun terkemuka seperti ENEOS dan Sumitomo, yang berperanan besar dalam memanfaatkan tenaga hidro bersih untuk penghasilan hidrogen hijau.
“Perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, baru-baru ini juga telah mengesahkan potensi besar Sarawak untuk menjadi hab tenaga baharu yang relevan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2025: Sarawak Ke Arah 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Selain itu, kata Abang Johari Sarawak turut memanfaatkan teknologi Methylcyclohexane (MCH) dalam usaha menjadikan hidrogen sebagai produk eksport yang boleh dihantar dalam bentuk cecair ke Jepun, sebagai salah satu langkah penting dalam pengukuhan ekonomi hijau global.
“Melalui projek H2ornbill yang diterajui SEDC Energy, lebih 90,000 tan hidrogen hijau dijangka dihasilkan setiap tahun, dengan 2,000 tan daripadanya akan digunakan untuk keperluan tempatan.
“Kerjasama dengan ENEOS dalam teknologi Direct MCH adalah satu langkah besar yang bukan sahaja mengurangkan kos tetapi turut memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemimpin global dalam ekonomi hidrogen hijau,” jelas beliau.
Sarawak juga sedang bekerjasama dengan HighChem Technology Company Limited dalam meneroka teknologi hijau inovatif seperti Syngas to Ethylene Glycol dan CO2 to Paraxylene, bertujuan untuk memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan kepada industri petrokimia tradisional.
“Usaha-usaha ini bukan sahaja menjadikan Sarawak sebagai pengeluar utama produk poliester hijau, malah turut memperkenalkan integrasi teknologi pemerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dalam menjana penyelesaian tenaga mampan.
“Dengan kerjasama strategik ini, Sarawak kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai hab global bagi tenaga bersih dan inovasi hijau menjelang 2030,” katanya.
Oleh Amanda L