LOS ANGELES: Ketika Los Angeles dilanda kebakaran hutan seperti dalam adegan bencana filem Hollywood, industri hiburan gergasi di bandar itu kini terpaksa menghitung kerugian besar yang semakin membebankan pekerjanya.
Pelakon, kru, penulis, dan penerbit bukan saja kehilangan tempat tinggal, malah, penggambaran filem serta rancangan televisyen terpaksa dihentikan sementara.
Selain itu, desakan turut memuncak menuntut musim anugerah Hollywood dibatalkan.
Industri hiburan di Los Angeles, yang menyumbang AS$115 bilion (RM518.71 bilion) kepada ekonomi serantau, sedang berada dalam keadaan genting.
Beberapa produksi filem dan televisyen terpaksa meninggalkan bandar itu berikutan kos operasi yang tinggi.
Pandemik COVID-19 dan pergolakan tenaga kerja baru-baru ini turut memberi kesan buruk sejak beberapa tahun terakhir.
Editor kanan majalah Variety, Marc Malkin berkata, Hollywood, seperti yang lain, terjejas teruk akibat pandemik.
“Mogok pekerja baru-baru ini jelas sekali mengubah industri ini, mungkin untuk selama-lamanya. Ditambah dengan kebakaran ini, Hollywood terus-menerus menerima tamparan bertubi-tubi,” katanya.
Selebriti termasuk Anthony Hopkins, Mel Gibson, dan Billy Crystal kehilangan kediaman mereka dalam kebakaran minggu lalu.
Rancangan seperti Grey’s Anatomy, NCIS, Hacks, dan Fallout adalah antara puluhan produksi TV berpusat di Los Angeles yang terjejas apabila set mereka tidak dapat digunakan sejak kebakaran bermula.
Kawasan utama seperti Burbank, yang menempatkan banyak studio besar, turut terancam walaupun masih terselamat buat masa ini.
Namun, Film LA, yang menguruskan permit untuk penggambaran luar, memberi amaran bahawa produksi di zon pemindahan mungkin berdepan pembatalan permit, sementara kru keselamatan di set juga dijangka sukar dicari.
Asap tebal dan abu yang menyelubungi seluruh kawasan itu turut menjejaskan produksi yang berharap untuk menjalani penggambaran di luar kawasan berbahaya.
“Jika anda menjalani penggambaran di luar di Los Angeles sekarang, keadaan sangat buruk. Kualiti udara sangat teruk,” katanya.
Sementara itu, masih belum ada kepastian bila produksi akan disambung semula. Selain masalah logistik, industri juga perlu mempertimbangkan sensitiviti untuk kembali normal ketika Los Angeles sedang bergelut dengan kebakaran besar.
Isu paling ketara membabitkan siri tayangan perdana, gala, dan majlis penyampaian anugerah yang kini dihentikan sementara.
Acara seperti Critics Choice Awards ditangguhkan, manakala tayangan perdana filem seperti The Last Showgirl karya Pamela Anderson dan biopik Robbie Williams, Better Man, dibatalkan minggu lalu.
Pembatalan ini bahkan membabitkan tayangan di New York, termasuk untuk siri popular Apple TV, Severance.
“Studio dan platform penstriman membuat keputusan yang tepat dengan membatalkan atau menangguhkan acara yang penuh glamor.
“Melihat orang berjalan di permaidani merah dengan pakaian mewah ketika Los Angeles sedang terbakar, adalah sesuatu yang sukar diterima,” katanya.
Pengumuman calon Oscar tahun ini yang sepatutnya disiarkan di televisyen juga ditangguhkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi, Bill Kramer, dalam mesej kepada ahlinya berkata, mereka memikirkan ahli industri dan rakan-rakan yang tinggal di kawasan Los Angeles,” tulis Pelakon Hacks, Jean Smart, mencadangkan langkah lebih drastik, iaitu membatalkan keseluruhan musim anugerah.
Namun, Malkin memberi amaran bahawa membatalkan keseluruhan musim anugerah akan membawa kesan buruk kepada ramai pekerja seperti jurusolek, pelayan, pemandu, dan kru keselamatan.
“Ya, selebriti mungkin tidak terjejas dari segi kewangan.
“Tetapi jika anda memikirkan semua orang yang bekerja di belakang tabir untuk pelbagai acara anugerah ini, mereka adalah pekerja kontrak yang bergantung kepada pendapatan iniā¦ ia akan memberi kesan yang dahsyat,” katanya. – AFP