SKRANG: Empat rumah panjang termasuk sebuah sekolah rendah di kawasan Lipat Ulu, Skrang telah terputus hubungan berikutan limpahan air Sungai Skrang sejak awal pagi hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata empat rumah panjang terjejas iaitu Kejemut; Tembong; Tabut Asal; Tabut Ulu dan juga Sekolah Kebangsaan (SK) Tabut.
Beliau berkata pihaknya telah menerima panggilan sekitar jam 8.47 pagi berhubung kejadian tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kawasan Lipat Ulu, Skrang telah dinaiki air sedalam 0.5 meter dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil dan besar.
“Sepanjang pemantauan kawasan berisiko banjir di kawasan Lipat Ulu mendapati paras air semakin menaik dan terdapat beberapa rumah panjang dan sebuah sekolah terputus hubungan,” katanya.
Desem berkata, walaupun keadaan tersebut agak terkawal, pihaknya sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.
“Kita (APM) telah mula siap sedia dengan mengarahkan anggota bersiap sedia 24 jam dan akan dikerahkan bila-bila masa jika perlu atau ada mangsa yang terpaksa dipindahkan,” katanya.
Bagaimanapun kata Desem lagi, tiada mangsa dipindahkan setakat ini dan keadaan masih terkawal.
Oleh ADI SAFARMAN