SARIKEI: Sarawak mencatat 362 kes kemalangan maut sepanjang tahun lalu, kebanyakannya disebabkan kelalaian dan kecuaian pemandu.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, walaupun kes itu menunjukkan penurunan berbanding 378 kes maut pada 2023, keadaan tetap membimbangkan.
“Punca lain kemalangan adalah disebabkan pertambahan jumlah kenderaan di atas jalan raya (tiga peratus), faktor cuaca, jalan dan bentuk muka bumi (dua peratus).
“Jenis kenderaan yang paling banyak terlibat di dalam kemalangan adalah daripada pemandu kereta, diikuti pacuan empat roda, penunggang motosikal dan lain-lain kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bertempat di Pusat Inovasi Sarikei (SIC), di sini hari ini.
Lee berkata kemalangan parah di seluruh Sarawak pada 2023 adalah sebanyak 150 kes berbanding 137 kes pada 2024 iaitu kurang sebanyak 13 kes.
“Kemalangan ringan pada 2023 adalah 327 kes dan 255 kes pada 2024, kurang sebanyak 72.
“Kemalangan rosak melibatkan kenderaan adalah sebanyak 20,563 kes pada 2023 dan sebanyak 20,979 kes pada 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 416 kes,” katanya.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kemalangan di seluruh negeri adalah 21,418 kes pada 2023, meningkat 315 kes pada tahun lalu iaitu sebanyak 21,733 kes.
Bagi Daerah Sarikei, katanya, kemalangan maut sebanyak tujuh kes pada 2023 dan 11 kes pada 2024, manakala kemalangan parah pada 2023 dan 2024, masing-masing sebanyak empat kes, kemalangan ringan tiada kes pada 2023 dan 2024.
Bagi Daerah Meradong, kemalangan maut adalah sebanyak sembilan kes pada 2023 dan enam kes pada 2024, kemalangan parah pada 2023 adalah tiga kes dan sebanyak 14 kes pada 2024, kemalangan ringan 10 kes pada 2023 dan tujuh kes pada 2024.
“Untuk Daerah Julau, kemalangan maut adalah sebanyak enam kes pada 2023 dan dua kes pada 2024, kemalangan parah pada 2023 satu kes dan tiada kes pada 2024, kemalangan ringan satu kes pada 2023 dan dua kes pada 2024,” katanya.
Oleh Earl Anek