SIBU: Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] adalah langkah proaktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menangani gangguan seksual secara sistematik.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang beroperasi sejak 8 Mac 2024, dan telah menjadi saluran mudah dan kos rendah bagi mangsa menuntut keadilan.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, tribunal kita atau lebih dikenali sebagai TAGS, adalah alternatif kos rendah dan cepat untuk mengendalikan aduan gangguan seksual.
“Tribunal ini memberi peluang kepada mangsa untuk mengambil tindakan terhadap pelaku bagi mendapatkan hak tebus rugi atas kehilangan atau apa-apa kerosakan yang ditanggung oleh mangsa akibat daripada gangguan seksual yang dialami,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutupan Program Kasih Komuniti dan Advokasi Antigangguan Seksual@Sibu di Dewan Komuniti Sibu Jaya, hari ini.
Menurutnya, bermula 2023 sehingga kini, KPWKM telah melaksanakan lebih daripada 100 program advokasi antigangguan seksual termasuk Program Jerayawara KASIH KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual ke seluruh negara dengan kolaborasi bersama-sama pelbagai pihak merangkumi sektor kerajaan, swasta dan NGO.
Katanya, pada 2024, sebanyak 28 aduan difailkan, dengan 10 selesai dalam tempoh ditetapkan, memberi mangsa peluang menuntut tebus rugi atas kerugian akibat gangguan.
“Gangguan seksual ialah perlakuan yang bersifat subjektif, boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina, bangsa, agama dan faktor lain.
“Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk semua golongan masyarakat sedar bahawa gangguan seksual merupakan suatu perlakuan yang bersifat seksual dan mendatangkan perasaan tidak selesa, takut atau terancam kepada mangsa dengan tingkah laku pelaku,” katanya.
Nancy memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan 506 kes gangguan seksual pada 2021 dan sedikit penurunan pada 2022, iaitu kepada 488 kes.
“Pada 2023, kes meningkat semula kepada 529 kes. Jumlah kes yang dilaporkan ini melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan wanita. Bagi 2024, sehingga Oktober 2024, sebanyak 666 kes telah dilaporkan.
Beliau berharap program tersebut dapat membantu KPWKM menyebar luas advokasi berkaitan dengan gangguan seksual yang bertujuan untuk mencegah dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu ini.
“Jika isu ini tidak dibendung dari peringkat awal, gangguan seksual boleh menjadi antara punca kepada masalah yang lebih serius, termasuklah keganasan terhadap wanita, yang memberi impak negatif kepada kesejahteraan individu dan masyarakat secara keseluruhannya,” kata beliau.
Oleh Akun Giman