MIRI: Polis Miri berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan yang terlibat dalam merekrut orang ramai sebagai keldai akaun dan menyamar sebagai pihak berkuasa dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam operasi itu, pasukan serbuan menahan 11 individu termasuk seorang wanita.
“Dalam kes pertama, sekitar jam jam 12 tengah hari 8 Januari lepas, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Miri menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun di Pusat Komersial Boulevard kerana disyaki merekrut orang ramai untuk dijadikan sebagai keldai akaun.
“Dalam operasi itu, polis merampas sebuah kereta, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, 44 kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, 29 kad sim pelbagai syarikat telco, dua beg sandang, wang tunai RM32 dan sebuah buku nota yang mengandungi nombor akaun bank,” katanya pada sidang media yang di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini, hari ini.
Alexson berkata, dalam operasi kedua yang dijalankan kira-kira jam 3 petang pada 10 Januari lepas, polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia antara 25 dan 40 tahun di sebuah rumah di Taman Bayshore di sini.
“Polis merampas 20 telefon bimbit, dua komputer, kabel komputer, dua komputer riba, tujuh set dokumen mengandungi maklumat mangsa, skrip digunakan suspek yang menyamar sebagai anggota polis dan anggota Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), tiga buku nota, iPad, tablet dan dua pasport milik suspek,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak November 2024 dan terlibat dalam penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis dan anggota NSRC.
“Suspek direkrut melalui Facebook, ditawarkan pekerjaan sebagai operator dengan gaji RM2,000 dan tiket penerbangan disediakan ke lokasi kerja.
“Mereka juga diberikan skrip untuk dihafal dan dilatih bagaimana untuk menipu dan menipu mangsa mereka,” katanya.
Alexson berkata, anggaran nilai rampasan dalam kedua-dua operasi ini masing-masing berjumlah RM40,000 dan RM30,000.
“Semua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) bagi untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B kerana konspirasi jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, Alexson menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Shoban a/l Rajendran di talian 016-4260592, Insp Tasman Hukman di talian 014-8618690, atau Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di talian 085-432533.
Oleh Liong Chai Ling