BEKENU: Hasrat untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) oleh penduduk Rumah Rajit Zon Bekelit diketuai oleh Gasan Igoh di sini, sangat mengejutkan kerana ramai daripada mereka merupakan ahli parti pembangkang di Sarawak sebelum ini.
Masuk sahaja ke ‘ruai’ rumah panjang terbabit kelihatan sudah ada banyak bendera PBB berkibar, sekali gus ini mengambarkan hasrat penduduknya mahu berjuang menguatkan PBB yang terajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB, Datuk Rosey Yunus melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan hasrat yang disuarakan secara terbuka oleh Gasan Igoh bersama anak buahnya untuk menyertai PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, Gasan bersama pengikutnya telah lama menyuarakan hasrat untuk menyertai PBB namun faktor masa yang tidak mengizinkan.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya tidak mahu melihat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu terus tertinggal dalam harus pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Pembangunan yang kita nikmati pada hari ini adalah kerana perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu dan kita semua amat menghargai,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak berkata demikian pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Gasan dan Rumah Rajit di Zon Bekelit semalam.
Pada program itu, sebanyak 130 borang permohonan untuk menyertai PBB telah diterima Rosey yang disampaikan oleh Gasan Igoh.
Terdahulu, Gasan Igoh berkata, beliau bersama penduduknya memang sudah lama ingin menyertai PBB, namun masa belum mengizinkan.
“Penyertaan kami ke dalam PBB bersama GPS juga tidak dapat dihalang kerana banyak pembangunan telah terlaksana dan sedang dijalankan yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan luar bandar secara menyeluruh di Sarawak,” jelasnya.
Turut hadir Ketua Wanita PBB Bekenu, Kaunselor Hadijah Sheikh Kassim yang juga mengetuai Program Skuad Kasih Sayang (SKS) Bekenu, para ahli Jawatankuasa Induk PBB Bekenu, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Subis Kaunselor Samli Tinggal dan Penghulu Epat Bakar.
Oleh Adum Liu