KUCHING: Majlis Malam Gemilang Inns of Court Malaysia (ICM) Wilayah Timur yang julung kali diadakan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara profesion undang-undang di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata majlis itu juga mampu menjadi perintis jalan untuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang guaman.
Katanya, acara ini bukan sahaja menghimpunkan tokoh undang-undang terkemuka, malah turut memperlihatkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan undang-undang melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya dan ICM.
“Langkah ini dijangka melahirkan generasi guaman yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Kerjasama erat antara pelbagai pihak dalam profesion guaman akan memperkukuh asas pembinaan negara.
“Kepelbagaian dan keterangkuman adalah kekuatan kita. Ia bukan sahaja memperkukuhkan profesion guaman tetapi juga memastikan keadilan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya berucap pada majlis Malam Gemilang Inns of Court Malaysia (ICM) Wilayah Timur Muzium Budaya Borneo, malam tadi.
Fadilah turut memuji usaha berterusan ICM dalam memperkasa pendidikan undang-undang, termasuk melalui siri Pendidikan Undang-Undang ke-10 di Universiti Swinburne, Kuching, yang mencerminkan dedikasi untuk memajukan profesion guaman di Malaysia.
Majlis ini turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bersama hakim, peguam, ahli akademik, dan pelajar undang-undang.
Fadillah menggesa agar nilai-nilai keterangkuman dan perpaduan terus dipupuk, terutama dalam menangani ‘bias’ tidak sedar serta meningkatkan komunikasi rentas budaya dalam profesion guaman.
“Langkah ini penting untuk memastikan perkhidmatan undang-undang disampaikan dengan profesionalisme dan integriti,” tambahnya.
Beliau menutup ucapannya dengan menegaskan bahawa profesion guaman memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
“Marilah kita bersama-sama membina masa depan yang berlandaskan keadilan, keterangkuman, dan perpaduan demi kemajuan negara,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT