SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan hari ini memaklumkan kotak hitam pesawat Jeju Air yang terhempas sehingga meragut 179 nyawa, baru-baru ini, berhenti merakam empat minit sebelum nahas itu berlaku.
Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hasil analisis menunjukkan data daripada CVR dan FDR tidak direkodkan dalam tempoh empat minit sebelum pesawat berkenaan bertembung ‘localizer’ atau alat bantuan navigasi.
Katanya, usaha sedang dilakukan untuk menyiasat punca kehilangan data terbabit.
“Siasatan akan dilakukan menerusi pemeriksaan dan analisis pelbagai data.
“Pihak jawatankuasa komited melakukan yang terbaik bagi menentukan punca kemalangan dengan tepat,” katanya.
Pesawat Boeing 737-800 dari Thailand yang membawa 181 penumpang serta anak kapal itu terbakar selepas merempuh penghalang konkrit di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, 29 Disember lalu.
Ia adalah bencana penerbangan terburuk yang pernah berlaku di Korea Selatan.
‘Localizer’ – penghalang di hujung landasan yang membantu pendaratan pesawat – dikatakan menyumbang kepada keterukan kemalangan itu.
Kerosakan alat merekod data penerbangan itu dianggap tidak dapat dipulihkan untuk tujuan pengekstrakan data oleh pihak berkuasa Korea Selatan.
Korea Selatan telah menghantarnya ke Amerika Syarikat (AS) untuk dianalisis di makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan negara itu.
Namun, alat bagi petunjuk detik terakhir penerbangan itu dilihat mengalami kehilangan data, menyebabkan pihak berkuasa berusaha mengetahui apa yang berlaku.
Penyiasat dari Korea Selatan dan AS masih menyiasat punca kemalangan itu, serta memaklumkan kotak berkenaan penting untuk membantu siasatan mereka.
Pasukan penyiasat tidak menolak kemungkinan isu seperti perlanggaran dengan burung, gear pendaratan rosak dan penghalang landasan sebagai punca kemalangan itu.
Sebelum ini, juruterbang dilaporkan memberi amaran mengenai perlanggaran dengan burung dan bertindak menghentikan pendaratan pertama, sebelum terhempas pada cubaan kedua apabila gear pendaratan tidak berfungsi.
Minggu ini, ketua penyiasat, Lee Seung-yeol, dipetik memaklumkan ‘bulu burung’ ditemui dalam enjin pesawat terbabit, namun menjelaskan perlanggaran dengan unggas tidak menyebabkan kegagalan enjin secara serta-merta.
Pihak berkuasa juga dilaporkan antara lain telah menyerbu pejabat di Lapangan Terbang Muan serta pejabat Jeju Air di Seoul, selain menghalang Ketua Eksekutif Jeju Air daripada meninggalkan negara. – AFP