SIBU: Kawasan pesisir negeri ini akan dibuka dengan kaedah pertanian baharu setelah siapnya beberapa jambatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak sedang menghubungkan Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Kemena untuk membuka kawasan pertanian baharu sehingga ke Sibu.
“Apabila saya melihat rakyat tersenyum mendapat Jambatan Muara Lassa, mereka tidak perlu lagi menunggu feri, dan jika anak mereka sakit, mereka boleh pergi ke klinik walaupun tengah malam.
“Ini belum lagi apabila Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Igan yang akan siap. Kami sedang menghubungkan jambatan-jambatan besar ini yang akan membuka kawasan pertanian baharu dan lain-lain, sehingga ke Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, di sini hari ini.
Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata tiga jambatan besar iaitu Muara Lassa sudah siap, Batang Igan, dan Batang Paloh yang sedang dibina dengan kos keseluruhan RM1.4 bilion.
“Pada mulanya, saya juga takut, apabila saya mengumumkannya, saya terfikir adakah cukup dana, tetapi Alhamdulillah berkat doa kita, hasil Sarawak meningkat tiga kali ganda.
“2020 adalah tahun tertinggi (hasil). Dalam bajet saya, saya kata RM14 bilion. Itu pada bulan November. Tetapi menjelang Disember, ia meningkat lagi, dan pendapatan Sarawak melepasi RM14 bilion.
“Insya-Allah, menjelang 2027, jambatan kita sama ada Batang Lupar, Kemena, Marudi, Limbang, atau Saribas dan semua jalan yang menelan belanja RM20 bilion akan dibayar sepenuhnya melalui kaedah pembayaran alternatif,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING