KUALA LUMPUR: Susulan penurunan mendadak permintaan minyak mentah yang menyebabkan harga jatuh menjunam, daya maju perniagaan biodiesel juga menjadi lemah yang memberi tekanan kepada mandat biodiesel Malaysia dan Indonesia.
Bagaimanapun, ada sisi positifnya daripada keadaan suram itu apabila dunia menyaksikan pengurangan hampir 5.5 peratus pelepasan gas rumah hijau semasa tempoh sekatan pergerakan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sumwin, U.R Unnithan.
“Ia telah membuatkan pakar perubahan iklim, penggubal dasar, pertubuhan bukan kerajaan dan pengguna memikirkan tentang dunia baharu, ke arah ekonomi yang lebih mesra alam sekitar dengan memberi lebih tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, yang mana memberikan prospek baik kepada industri minyak sawit,” katanya.
Unnithan berkata demikian semasa pembentangan beliau yang bertajuk “Challenges and Opportunities for the Palm Oil Industry in the Areas of Biodiesel, Sustainability and Food Safety” pada Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers), anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Bursa Malaysia, yang berlangsung dari 22 hingga 28 Jun.
Beliau berkata, unjuran permintaan kasar domestik dijangka lemah dengan Unjuran 2020 turun 3.0 peratus sebelum meningkat kepada 4.5 peratus tahun depan.
Unjuran 2020 permintaan diesel China turun kepada 1.2 peratus berbanding 6.1 peratus pada 2019 dan dijangka meningkat kepada 9.2 peratus pada 2021, manakala unjuran 2020 permintaan dari India susut kepada 1.9 peratus daripada 6.1 peratus yang dicatatkan tahun lepas dan diunjur meningkat kepada 7.4 peratus pada 2021.
Memetik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Unnithan berkata eksport biodiesel turun sebanyak lima peratus dari Januari hingga April 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Pelaksanaan program biodiesel B20 kerajaan (20 peratus minyak sawit, 80 peratus diesel petroleum) akan bermula pada September 2020 dan dijangka selesai menjelang Jun 2021.
Program itu dijangka meningkatkan pembelian minyak boleh dimakan negara kepada 534,000 tan metrik setahun dan apabila digabungkan dengan program biodiesel B7 sekarang bagi penggunaan perindustrian, penggunaan minyak sawit tempatan dijangka meningkat kepada 1.3 juta tan metrik setahun.
Sementara itu, dalam pembentangan beliau yang bertajuk “Malaysian Palm Oil Industry Outlook and Biodiesel Mandates”, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata bagi tempoh Januari hingga Mei 2020, industri minyak sawit Malaysia mencatatkan prestasi lemah dalam semua petunjuk utama kecuali harga MSM dan stok penutup.
“Prestasi tahun ke tahun dijangka meningkat dalam separuh kedua 2020 susulan prospek pengeluaran tinggi MSM dan prestasi eksport yang bertambah baik.
“Lantunan semula harga MSM ketika ini dijangka kekal sehingga separuh kedua 2020, disokong oleh program B20 dan pelaksanaan pengecualaian duti eksport kerajaan bagi minyak sawit mentah, minyak isirung sawit mentah dan minyak isirung sawit diproses dari Julai hingga Disember,” katanya.
Beliau berkata, ini djangka meningkatkan keseluruhan prestasi eksport minyak sawit pada separuh kedua 2020, mengurangkan impak daripada kelembapan ekonomi global akibat daripada pandemik Covid-19. – Bernama