SIBU: Sejarah perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah sejarah yang penuh dengan pengorbanan dan kejayaan serta menjadi saksi perjalanan turun naik politik negeri Sarawak sejak penubuhannya.
Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bermatlamatkan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Bumiputera di Sarawak, parti itu memainkan peranan penting dalam memastikan kemajuan yang seimbang dan memupuk perpaduan antara kaum dalam negeri ini.
“Saya melihat PBB ini sebagai sebuah parti yang bukan sahaja dekat dengan hati kebanyakan rakyat Sarawak, malah parti ini sejak ditubuhkan, tidak pernah berpecah. Parti ini terus kukuh dan utuh kerana PBB berdiri di atas prinsip perpaduan, kesetiaan dan perjuangan untuk rakyat Sarawak.
“PBB telah membuktikan, ‘political upbringing’ yang memegang semangat setia kawan dan rasa tanggungjawab bersama dalam mencapai matlamat yang lebih besar iaitu menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang stabil, maju, makmur dan sejahtera dengan mendahulukan kepentingan rakyat Sarawak atau Sarawak First – terus berkembang sebagai peneraju kepada kestabilan politik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilian PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Nanta berkata, dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan perubahan suhu dan iklim politik, PBB tetap teguh sebagai sebuah parti yang inklusif, mengutamakan keharmonian antara kaum dan memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan.
“Paling utama, PBB telah menjadi asas yang kukuh kepada kestabilan politik dan sosial di Sarawak. Namun, sebagai sebuah parti yang mendalami nilai-nilai perpaduan dan keharmonian, kita tidak boleh leka dengan pencapaian yang telah ada. Kita perlu sentiasa melihat ke depan dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks dan mencabar,” katanya.
Beliau berkata generasi muda adalah pemimpin masa depan, dan kehadiran mereka dalam PBB memberi harapan baru kepada parti ini dan Sarawak secara keseluruhannya.
“Mereka bukan sahaja mewarisi legasi perjuangan, tetapi juga menjadi peneraju dalam mengembangkan visi dan strategi baru untuk memajukan Sarawak.
Justeru, beliau menyeru generasi muda PBB untuk menggalas tanggungjawab dengan penuh kesedaran dan semangat juang yang tinggi.
Katanya, mereka harus menjadi ejen perubahan, penggerak inovasi, dan pembawa idea segar untuk memastikan Sarawak sentiasa berada di landasan yang betul dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik.
“Melalui program keusahawanan, pendidikan, dan teknologi, generasi muda PBB berperanan penting dalam memastikan negeri ini bukan sahaja terus relevan dalam konteks
global, tetapi juga berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING