SIBU:Tiada yang lebih mengembirakan bagi seramai tujuh rakyat Sarawak apabila mereka akhirnya berjaya pulang ke tanah air selepas terkandas kira-kira tiga bulan di Manila.
Kesemua mereka berasal dari Sibu, tiba di Lapangan Terbang Sibu dengan penerbangan Air Asia sekitar jam 2.00 petang semalam.
Salah seorangnya dikenali Yong Jing Xiang ketika ditemui melahirkan perasaan sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang ke tanah air.
Beliau bekerja sebagai jurujual di Manila tidak dapat turun bekerja sepanjang tempoh tiga bulan berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara tersebut.
“Dalam tempoh itu, saya cuba untuk mendapatkan tiket penerbangan balik ke tanah air, namun usaha itu menemui jalan buntu atas pelbagai faktor.
“Saya memang mengakui amat susah untuk mendapatkan tiket penerbangan balik ketika itu,” jelasnya.
Katanya, beliau akhirnya lega apabila Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak membantu untuk mendapatkan penerbangan khas membawa mereka balik ke Malaysia.
“Terima kasih Malaysia, terima kasih Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Michael Tiang berkata, terdapat seramai 183 rakyat Malaysia didapati terkandas di Manila termasuk warga Sarawak.
“Isu mulai diketahui apabila mereka menyuarakan rintihan melalui Facebook dan terdapat salah seorang daripada mereka menghubungi salah seorang wartawan akhbar berbahasa Mandarin yang kemudiannya terus menghubungi Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting.
“Datuk Sebastian kemudian terus menghubungi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menguruskan penerbangan khas dari Manila ke Kuala Lumpur,” jelasnya.
Katanya, kesemua 183 rakyat Malaysia yang terkandas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada petang 23 Jun lalu.
“Kesemua mereka telah menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19. Pada petang ini (semalam) kesemua seramai tujuh rakyat Sarawak dengan kesemuanya dari Sibu, selamat tiba di bandar ini.
“Mereka akan dibawa ke hotel untuk menjalani kuarantin. Pada hari kedua dan ke-10 mereka akan menjalani ujian PCR Covid-19. Jika keputusannya adalah negatif, mereka dibenarkan untuk menjalani kuarantin di rumah,” ujarnya lagi.
Justeru, Michael mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kerajaan Sarawak, pihak kedutaan Manila dan media dalam menjayakan usaha tersebut.
Oleh Akun Giman