SIBU: Sebuah blok rumah pekerja warga Indonesia yang mempunyai 40 pintu dilaporkan musnah 100 peratus dalam kebakaran yang berlaku bersebelahan dengan Hann’s Residence di Jalan Wong King Huo, pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.10 pagi dan segera menghantar pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bersama bantuan dari BBP Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kuarters pekerja dengan struktur tidak kekal.
“Kebakaran telah memusnahkan blok satu kuarters rumah pekerja 40 pintu berkeluasan 80 x 15 kaki persegi.
“Bagaimanapun, blok dua yang mempunyai enam pintu berpenghuni, blok tiga dengan enam pintu berpenghuni, dan blok empat yang menempatkan surau berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Andy, setelah membuat penilaian awal, pasukan bomba bertindak membentangkan satu aliran 500 kaki dengan dua nozel dan menggunakan sumber air dari pili bomba bagi mengawal dan memadamkan api, manakala pasukan bantuan dari Sungai Merah membentangkan satu aliran 200 kaki dengan dua nozel dan sumber air dari pili bomba untuk memadamkan api dari bahagian belakang bangunan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 9.33 pagi dan dipadam sepenuhnya pada 10.00 pagi.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa dan semua penghuni dilaporkan selamat,” tambahnya.