KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menganjurkan Bazar Ramadan di tempat letak kereta Pusat Komersial Stutong dan Pasar Komuniti Stutong dari 2 hingga 30 Mac 2025.
Bazar ini akan memberi peluang kepada peniaga untuk menjual pelbagai makanan dan minuman sempena Ramadan.
Menurut Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng, borang permohonan untuk menyertai bazar tersebut boleh didapati mulai 13 Januari 2025 di One Stop Service Counter 9, Tingkat Bawah, Dewan Bandaraya Kuching Selatan.
“Pemohon perlu melengkapkan borang dan menyerahkannya sebelum 4.00 petang, 24 Januari 2025. Antara dokumen yang perlu disertakan adalah gambar pasport, salinan kad pengenalan, sijil kursus pengendali makanan, serta keputusan pemeriksaan kesihatan yang mengesahkan vaksinasi tifoid,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Bazar Ramadan MBKS 2025 yang diadakan di Bangunan MBKS, hari ini.
Yuran sewa gerai adalah RM250, manakala deposit sebanyak RM100 diperlukan untuk memastikan tempahan gerai. Sebanyak 160 reruai jualan disediakan untuk para peniaga yang berminat.
Sekiranya peniaga yang ingin membuka gerai merupakan pasangan suami isteri, salinan sijil perkahwinan perlu dikemukakan.
Selain itu, MBKS juga turut memperkenalkan Pasar Buah Bermusim di Tabuan Jaya sebagai inisiatif untuk membantu peniaga buah tempatan, terutamanya semasa musim durian.
“Kami ingin memastikan peniaga mempunyai tempat yang sesuai untuk berniaga tanpa menjejaskan kawasan awam. Di pasar ini, peniaga buah tempatan akan diberi keutamaan, tetapi kami juga akan mempertimbangkan buah import,” tambahnya.
Pasar Buah Bermusim di Tabuan Jaya kini sedang dinaik taraf dengan penambahan kios dan kemudahan lain bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.
Wee berharap agar pasar ini menjadi daya tarikan baharu yang unik dan menarik di Kuching.
Oleh Amanda L.