WASHINGTON: Kebakaran hutan yang melanda Los Angeles adalah yang terburuk dalam sejarah California, kerana memerlukan dana dan sumber persekutuan tambahan untuk membantu negeri itu, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
“Ini adalah kebakaran yang paling meluas dan dahsyat dalam sejarah California,” kata Biden dalam mesyuarat khas pegawai kanan pentadbiran di Rumah Putih.
Katanya, penduduk di Los Angeles ‘hidup dalam mimpi ngeri’, selain memuji anggota bomba sebagai wira yang berusaha memadam kebakaran.
Biden yang membatalkan lawatan ke Rom yang dijadualkan Khamis turut menyelaraskan tindak balas kerajaan AS terhadap kebakaran, yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan menampung 100 peratus kos menangani bencana itu untuk 180 hari pertama, atas permintaan gabenor Demokrat California, Gavin Newsom.
Biden berkata, seramai 400 anggota bomba persekutuan dan 30 pesawat pemadam kebakaran serta helikopter digerakkan ke Los Angeles, manakala Pentagon akan menghantar lapan pesawat besar dan 500 kakitangan pembersihan kebakaran.
Naib Presiden dan bekas calon presiden Kamala Harris, yang berasal dari California, menyifatkan kebakaran itu sebagai ‘apokaliptik’ (kehancuran yang besar).
Beliau turut mendedahkan ada kes syarikat insuran membatalkan perlindungan insurans keluarga yang kehilangan harta benda dalam kebakaran itu.
Sementara itu, Biden menafikan dakwaan oleh Presiden baru Donald Trump bahawa terdapat kekurangan air menyebabkan anggota bomba bergelut untuk memadamkan api.
Biden berkata masalahnya terletak pada gangguan bekalan elektrik – selepas syarikat utiliti memotong elektrik bagi mengelakkan kebakaran lebih meluas menyebabkan bekalan elektrik ke pam air terputus. – AFP.