DARO: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah supaya mempertimbangkan untuk menambah bilangan feri di Batang Paloh dan Batang Igan.
Timbalan Menteri Infrastrutur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo berkata, dengan pembukaan Jambatan Muara Lassa kepada orang ramai mulai hari ini, jumlah aliran trafik dijangka akan tertumpu di kedua-dua laluan feri tersebut (feri Batang Paloh dan Batang Igan).
“Saya mohon supaya bilangan feri di kedua-dua ditambah kerana jambatan di dua kawasan tersebut masih dalam pembinaan.
“Kedua-dua jambatan tersebut (Jambatan Batang Paloh dan Igan) dijangka siap pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hari ini telah mencatatkan satu sejarah apabila Jambatan Muara Lassa yang menelan kos pembinaan hampir RM600 juta mula dibuka kepada orang ramai.
Dengan ada jambatan tersebut akan memendekkan masa perjalanan dari tanah besar Daro ke Sibu (masa perjalanan satu jam setengah).
Jambatan Muara Lassa sepanjang
2.4 kilometer merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar.
Terdahulu, Aidel mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan prapelancaran Jambatan Muara Lassa.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris.
Oleh AKUN GIMAN