DARO: Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.4 kilometer yang menelan kos pembinaan hampir RM600 juta telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.
Timbalan Menteri Infrastrutur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, jambatan kedua terpanjang di Sarawak itu selepas Jambatan Batang Lupar, merupakan sebahagian program projek Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Jajaran Utama Kedua Sarawak dengan kedua-keduanya adalah bernilai hampir RM12 bilion.
Menurutnya, pembinaan Jambatan Muara Lassa mengambil masa selama 48 bulan, berjalan lancar dan tidak mengalami apa-apa masalah dan kualiti pembinaannya baik.
“Selepas ini, telah diluluskan dan akan dibina jalan dua lorong sambung dari jambatan ini ke pekan Daro,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan majlis Prapelancaran Jambatan Muara Lassa, di sini hari ini.
Beliau berterima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana telah berjaya membina 16 jambatan.
“Sebanyak 14 jambatan dibina di laluan Jalan Pesisir dan Jalan Jajaran Utama Kedua Sarawak dan dua lagi dibina di kawasan lain, jadi 16 jambatan dibina serentak.
“Kita berasa amat beruntung dan berterima kasih kepada kerajaan GPS kerana menggunakan pembiayaan alternatif untuk membina semua jambatan ini. Kos RM12 bilion ini termasuk juga jalan raya tersebut dan semuanya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
“Jadi itulah sebabnya, apabila dulu ada pihak mempertikaikan kaedah Sarawak banyak menggunakan pembiayaan alternatif, jadi inilah hasilnya.
“Terima kasih atas kebijaksanaan pemimpin kita menggunakan kaedah ini. Kalau kita mengikut kaedah konvensional mungkin ini belum dapat dibuat lagi,” katanya.
Ketika ditanya tentang berapa banyak jambatan yang akan siap pada tahun ini, Aidel memberitahu, Jambatan Kemena di Jepak Bintulu akan siap pada Febuari ini manakala Jambatan Pasi di Batang Rajang akan siap pada Mac dan Jambatan Batang Saribas akan siap tidak lama lagi.
“Jambatan-jambatan lain pula akan menyusul. Prestasi keseluruhan Jalan Pesisir sudah dibangunkan sebanyak 80 peratus dan Jalan Utama Kedua Sarawak hampir 30 peratus yang siap,” kata beliau.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING