Oleh: Lokman Hakim
APABILA saya disuguhkan dengan cerpen “Biola atau Bola”, tulisan Ratna Dewi Asmara ini, saya terpaku sejenak apabila mendapati premis ceritanya yang tidak selari dengan realiti semasa.
Lazimnya, ibu bapa di Malaysia khususnya sangat mementingkan pelajaran anak-anak. Dalam cerpen ini pula, watak bapa, Encik Mohd Nor adalah watak paling aneh sekali. Dia menginginkan anaknya, Azwan menjadi pemain biola tersohor dan tidak teragak-agak meminta anaknya itu berhenti sekolah demi menunaikan impian seorang bapa yang tampaknya berfikir di luar kotak. Ada keterujaan membacanya kerana ia tidak logik jika diaplikasikan di dunia moden kini. Saya mula membayangkan pengarang cerpen ini sedang membina suatu cerita latar yang menjurus kepada keanehan kotak fikir seorang bapa. Suatu cerita latar yang mengagumkan. Namun ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.
Pertama, saya ingin menyebut perihal alur penceritaan yang agak lancar. Penggunaan bahasa agak baik meskipun ada beberapa ayat yang apabila ditelusuri konteksnya kedengaran janggal seperti “Matanya merah membengkak kerana tidak mampu menahan tangisan yang terlalu mendalam di sudut hati.” Bagaimanakah perbuatan menahan tangisan yang terlalu mendalam di sudut hati itu? Selain daripada itu, kita boleh juga meneliti ayat berikut:
“Bukan saya tak suka dia ambil SPM dan bermain bola sepak. Awak tahu kan, saya ada masa silam saya yang saya sangat sulit untuk dilupakan. Saya takut ia terulang semula terjadi dekat anak kita,” Ujar Mohd Nor sambil terketar-ketar mulutnya untuk mengingati semula peristiwa hitam yang terjadi beberapa tahun nan lalu waktu dia remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun yang lalu.
Saya cuba membayangkan keadaan mulut yang terketar-ketar dan ia agak kelakar. Bagaimana mulut boleh terketar-ketar? Seolah-olah pengarang menulisnya semberono, memetik perkataan demi perkataan dan mengadun tanpa berfikir jauh.
Berdasarkan ayat dalam perenggan yang dipetik di atas juga timbul suatu permasalahan utama, iaitu watak si bapa dibebani ketakutan yang tidak dijelaskan asasnya dalam cerpen ini.
Dalam garapan fiksyen, kita tidak mendepani watak baik dan jahat semata-mata. Kita juga akan diketemukan dengan watak jelik, jengkel, bodoh, pintar dan banyak lagi sifat yang boleh menjentik pemikiran dan emosi kita. Garapan plot yang mengungkapkan tindakan demi tindakan berentetan watak-wataknya akan membentuk persepsi pembaca terhadap sikap dan juga pemahaman terhadap tindakan watak-watak yang dipersembahkan.
Secara ringkasnya, pergerakan cerita bermula dengan pengenalan mengenai watak utama, Azwan, seorang pelajar yang cemerlang dalam pendidikan dan juga merupakan ayam tambatan dalam pasukan bola sepak di sekolahnya, mendepani kehendak si bapa yang mengkehendakinya agar berhenti sekolah dan menjadi pemain biola tersohor.
Secara rasionalnya, seorang bapa yang berfikiran waras tidak akan membiarkan masa depan anaknya dalam kegelapan (Azwan selaku anak khuatir keputusan bapanya akan menggelapkan masa depan). Pada awal penceritaan, saya beranggapan bahawa ketidakrasionalan Encik Mohd Nor ini pastilah bertunjangkan sesuatu peristiwa silam yang membentuk pemikiran aneh sedemikian.
Aristotle, dalam karyanya berjudul Poetics, ada menyatakan bahawa peri pentingnya probability dan keperluan dalam naratif fiksyen, iaitu peristiwa dalam cerita haruslah kelihatan berkemungkinan dan saling berkait.
Namun, setelah pengarang mengemukakan premis yang agak lemah demi membangunkan pendirian Encik Mohd Nor yang saya kira aneh itu, saya beranggapan pengarang masih belum mahir mencipta logik fiksyen yang meyakinkan.
Ayuh kita telusuri kelemahan penceritaan peristiwa silam yang menjurus pada tindakan janggal seorang ayah bernama Encik Mohd Noor ini. Kita difahamkan bahawa dia melalui pengalaman SPM yang sangat perit – kemalasannya belajar akibat kelekaannya bermain bola sepak telah menggagalkannya dalam peperiksaan SPM, dan kegagalan ini telah memberi impak dramatik kepada ibu bapanya sehingga meninggal dunia kedua-duanya.
Sewajarnya, Encik Mohd Nor akan disuguhi dengan pandangan bahawa bermain bola sepak itulah menjadi asbab kematian ibu bapanya, sedangkan realitinya, ia sebenarnya disebabkan oleh kegagalan Encik Mohd Nor dalam SPM. Tambahan pula tidak juga disampaikan bagaimana pekerjaan bermain biola boleh menjadi titik imbalan antara peristiwa kegagalan Encik Mohd Nor dengan kematian ibu bapanya dan juga desakan Encik Mohd Nor agar anaknya Azwan itu berhenti sekolah.
“Bagi Mohd Nor, belajar muzik lebih baik berbanding main bola sepak dan pelajaran yang lain.”
Ia tidak menghairankan sama sekali jika Encik Mohd Nor menegah anaknya daripada terus bermain bola dan fokus pada pelajarannya. Bahkan ia tampak rasional. Selari dengan kisah silam Encik Mohd Nor sendiri yang memperlihatkan kegagalannya dalam pelajaran itulah yang menjurus kepada kekecewaan arwah ayahnya hingga diserang sakit jantung. Namun, pengarang memilih untuk meletakkan elemen biola dan muzik dalam fiksyen lantas memberikan suatu kelainan janggal yang merencatkan garapan ceritanya.
Tidaklah bermakna meletakkan elemen muzik atau bermain biola itu salah jika mahu diterapkan dalam fiksyen. Cumanya, ia haruslah diladeni asas-asas latar logik dan rasional yang lebih meyakinkan.
Pengarang barangkali boleh memilih untuk menceritakan bagaimana Encik Mohd Nor berhasil membina sebuah sekolah muzik dan dia menginginkan anaknya, Azwan mewarisi sekolah muzik yang dibinanya itu. Pengarang juga boleh mengadakan situasi ujian SPM yang hendak diambil itu bertindih waktu dengan hari pemilihan pemain biola untuk kemasukan ke sebuah institusi muzik terkemuka dunia yang mantan pelajar-pelajarnya berpotensi untuk menjadi pemuzik terkenal di seluruh dunia.
Justeru, kecenderungan ‘aneh’ Encik Mohd Nor yang mahu anaknya meninggalkan terus pelajaran formalnya di sekolah demi muzik boleh dihilangkan keanehannya melalui situasi-situasi seperti yang saya berikan contohnya itu.
Selain daripada isu logik fiksyen yang terbentuk akibat garapan cerita latar watak yang kurang meyakinkan, terdapat juga isu peleraian plot dan juga pembentukan krisis yang menggunakan alat plot yang sama, yakni, sakit jantung.
Kesedihan Encik Mohd Nor sehingga mendorongnya untuk membuat keputusan tidak munasabah untuk memberhentikan persekolahan anaknya terbentuk daripada rentetan sakit jantung arwah ayahnya hingga meninggal dunia. Demi menambahkan lagi kesan emosi dan trauma kepada watak Encik Mohd Nor, diada-adakan pula tragedi si ibu Encik Mohd Nor pula meninggal dunia setahun sesudah ayahnya meninggal. Ia menghadirkan kesan dramatik berlebihan yang merencatkan garapan penceritaan.
Namun pengarang tidak berhenti di situ. Peleraian krisis Encik Mohd Nor mahu memberhentikan persekolahan anaknya diselesaikan oleh serangan jantung yang entah mengapa, mengubah 180 darjah pendirian Encik Mohd Nor itu sendiri.
Sejujurnya, tiada kesalahan kepada pengarang mahu mengguna pakai babak sakit jantung berulang kali dalam garapan fiksyennya. Namun, pengarang harus bertanya sendiri kepada diri: apakah kepentingan setiap babak dalam membina penceritaan? Dan sebolehnya, elakkan unsur dramatik berlebihan kerana ia boleh menjejaskan pembinaan watak. Mengapa si ibu kepada Encik Mohd Nor harus dimatikan sedangkan untuk membentuk keperibadian Encik Mohd Nor pada waktu kini, kematian seumpama itu tidak perlu sama sekali? Memadailah sekiranya si ayah kepada Encik Mohd Nor yang mati akibat sakit jantung yang sebenarnya saya kira juga agak berlebihan hanya kerana kecewa dengan keputusan SPM anak yang tidak memberangsangkan.
Itulah antara elemen dramatik berlebihan yang harus dihindarkan.
Apabila pembaca sudah dapat merasakan elemen dramatik yang berlebihan ini, kesan emosi yang diinginkan tidak menjadi lantas tidak menghadirkan impak pembacaan yang diinginkan. Tragedi yang disuguhkan dirasakan terlalu permukaan sifatnya dan tidak menghadirkan rasa simpati mahupun peduli pada nasib watak-watak. Saya tidak lagi peduli jika Azwan gagal melanjutkan pelajarannya oleh tindakan Encik Mohd Nor. Saya juga tidak peduli jika Encik Mohd Nor meninggal dunia akibat sakit jantung. Tragedi yang tidak organik dan natural penyampaiannya ini memberikan selapis makna cuma pada watak-watak yang diadun.
Ayuh kita telusuri pula bagaimana pengarang merungkai krisis utama penceritaan ini dengan ‘sakit jantung’ semata-mata:
“Beberapa hari kemudian, Mohd Nor akhirnya sedarkan diri. Titisan demi titisan air mata Mohd Nor mengalir kerana dia terlalu terbawa-bawakan emosinya sehinggakan Azwan menjadi mangsa. Mohd Nor menyesali kesilapannya kerana memaksa Azwan untuk menjadi seorang pemain biola terkenal. Mohd Nor jua menyesali kesilapannya kerana memaksa Azwan untuk berhenti sekolah dengan tidak mengambil SPM. Sebaliknya, SPM itulah yang sangat penting untuk diambil demi masa depan yang cerah, kerana jika SPM cemerlang, masa depan akan lebih terjamin, memandangkan Azwan seorang pelajar yang cemerlang. Memang diakui, Mohd Nor jua turut bangga kerana Azwan telah membanggakan dia dengan meraih banyak piala serta sijil penghargaan hasil bermain bola sepak.”
Lihatlah, pengarang meleraikan kekusutan watak Encik Mohd Nor dengan sakit jantung. Saya mengerti, kependekan cerpen itu mengehadkan pengarang untuk mengembangkan lagi naratif supaya ia lebih meyakinkan pembaca. Tetapi, tindakan pengarang meleraikan kecelaruan dan juga ‘kebodohan’ watak dengan cara begini membuatkan saya mempersoalkan peribadi watak yang dibina itu. Dan sekali lagi, enigma pemikiran Encik Mohd Nor yang menginginkan anaknya berhenti daripada persekolahan itu kekal tidak terungkai.
Bagaimanakah pengarang boleh memberi peleraian yang lebih baik? Semestinya melalui penyusunan dan garapan plot yang lebih baik. Apabila pengarang sudah berhasil mewujudkan latar cerita silam yang lebih meyakinkan – alatan plot ‘sakit jantung’ tidak lagi membawa konotasi deus ex machina tetapi bertindak selaku alat meredakan konflik yang menegangkan emosi pembaca sepanjang pembacaan.
Saranannya adalah dengan mewujudkan suatu keadaan, seperti Encik Mohd Nor ini seorang yang punya kelemahan berfikir yang barangkali diakibatkan penyakit yang menjurus kepada salah tanggap dan salah tafsiran terhadap apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Saya berpendapat, tiada manusia moden yang dikelilingi fahaman pendidikan moden akan tergamak menyarankan anaknya untuk berhenti belajar tanpa imbalan yang lebih mengujakan dan kelihatan lebih baik. Justeru, pengarang wajib memperkenalkan imbalan seumpama itu demi membina logik fiksyen yang lebih meyakinkan.
Sakit jantung boleh menjadi suatu alat plot yang bertindak selaku peringatan – tambahan pula arwah ayah kepada Encik Mohd Nor sendiri juga meninggal dunia akibat sakit jantung. Boleh juga diterapkan teknik imbas semula kata-kata akhir arwah ayah kepada Encik Mohd Nor yang membekas di hati dan juga sarat nuansa intelektual itu bertindak meleraikan kebodohan tindakan demi tindakan yang Encik Mohd Nor kenakan kepada anaknya. Dengan demikian, barangkali naratif dramatik yang sepatutnya menghadirkan jentikan emosi kepada pembaca dapat dipulihkan.
Secara keseluruhan, cerpen ini digarap dengan pergerakan yang seimbang sesama wataknya. Plot bergerak dengan baik dan pemerengganan babak demi babak dilakukan dengan cermat dan tidaklah dirasakan meleret di mana-mana. Tampak kecenderungan pengarang dalam penggunaan hiperbola yang perlu dicermati imaginasinya supaya ia tidak menghadirkan imej janggal dalam fikiran pembaca lantas membantutkan penyampaian ceritanya.
Mutakhir ini, kita punya akses ke filem-filem kekeluargaan yang baik. Baik dalam mahupun luar negara, setiap satunya menyajikan plot segar yang disulami falsafah kekeluargaan mendalam dan menyentuh nubari penonton yang sentiasa menggunakan akal fikir. Saranannya adalah pengarang tonton dan kaji bagaimana plot-plot filem dan drama kekeluargaan yang baik ini digerakkan supaya boleh dijadikan panduan dalam mengarang fiksyen kekeluargaan yang baik di kemudian hari.