PETRA JAYA: Fasiliti baharu Padang Kriket Borneo yang berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan, menelan kos sebanyak RM6.5 juta.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, fasiliti ini dibina bagi persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Piala Dunia Kriket T20 Wanita, Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) bawah 19 tahun, yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 20 Januari ini.
“Fasiliti ini merangkumi bilik penyiaran, kafeteria, bilik persalinan, dan padang bertaraf antarabangsa yang memenuhi piawaian ditetapkan Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).
“Walaupun kerja-kerja pembinaan telah selesai secara fizikal, kami perlu memastikan segala keperluan, termasuk kebersihan dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, disempurnakan.
“Namun, saya yakin semuanya akan siap menjelang hari kejohanan,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan di venue tersebut di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut mendedahkan bahawa kejohanan ini turut membuka peluang mempromosikan Sarawak ke peringkat antarabangsa.
“Siaran langsung kejohanan ini akan disiarkan ke 180 negara melalui saluran Star Sports, dengan anggaran lebih 200 juta penonton.
“Kejohanan ini adalah promosi percuma untuk Sarawak. Kita akan manfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan makanan, kraf, dan budaya kita melalui festival yang diadakan bersebelahan fasiliti ini,” katanya.
Terdahulu, pada kejohanan tersebut, sebanyak 10 perlawanan dari 42 perlawanan keseluruhan akan berlangsung di Padang Kriket Borneo, yang melibatkan empat pasukan iaitu New Zealand, Afrika Selatan, Samoa, dan Nigeria.
Oleh Mohd Neenatul Aizal