SIMANGGANG: Kerjaya dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam membentuk negara berdaya saing bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, dewasa ini, negara menghadapi dilema apabila peratus pelajar sekolah dalam aliran STEM adalah lebih rendah seperti yang diinginkan dan menimbulkan kerisauan banyak pihak.
“Justeru, matlamat pendidikan STEM ialah melahirkan murid berliterasi STEM yang berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif.
“Bagi mencapai wawasan Sarawak untuk menjadi sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030, adalah penting bagi Sarawak untuk mengatasi cabaran ini untuk mengejar perubahan yang dibawa oleh era digital.
“Oleh itu, kita mesti berupaya menawarkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang sesuai kepada bakat muda yang akan datang serta platform yang relevan untuk memacu inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan karnival pendidikan STEM dan kerjaya 2024 anjuran Persatuan Guru Bimbingan dan Kaunseling Zon Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.
Sebanyak tujuh institut pendidikan tinggi serta lima agensi STEM sebagai pempamer dan sebanyak 12 kaunter dibuka pada majlis tersebut.
Harden berkata dengan hasrat ini, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) amat menyokong inisiatif untuk mempromosikan pendidikan STEM.
Sekali gus, ia meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif di sekolah untuk memastikan bekalan bakat yang berkelayakan untuk tenaga kerja masa depan kita.
“Oleh itu, melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak juga akan memastikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh pelbagai agensi dan institusi penyelidikan di Sarawak adalah padu, dan mampu menghasilkan penemuan yang akan membawa manfaat kepada sosioekonomi,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman Azrein Julaihi, Penolong Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Bakat Murid Dunstan Igah Nanta, Setiausaha Persatuan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sarawak Jocelyn Jong Chia Ying dan Pengerusi Persatuan Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Sri Aman Lucy Chuo Mee Hong.
Oleh Adi Safarman