KUCHING: Sukan Borneo mungkin dimulakan pada skala kecil jika ia berjaya dihidupkan semula dalam tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kejohanan ini mungkin akan menampilkan hanya empat hingga lima jenis sukan sebagai permulaan.
“Kami mahu memulakan Sukan Borneo dengan skala kecil terlebih dahulu sebelum memperluaskannya di masa hadapan.
“Fokus utama adalah membina semula platform ini untuk mengukuhkan hubungan serantau antara Sabah, Sarawak, Brunei, Kalimantan, dan Labuan,” katanya pada sidang media kejohanan mengenai Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah-19 tahun di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak menyatakan minat untuk menghidupkan semula Sukan Borneo pada 2025 ini. Bagaimanapun, tarikh dan lokasi penganjuran belum dimuktamadkan.
Untuk rekod Sukan Borneo yang pertama dianjurkan oleh Brunei pada 1954. Sabah, Sarawak serta Brunei kemudiannya bergilir-gilir menjadi tuan rumah temasya sukan itu dan kali terakhir ia dianjurkan di Brunei pada 2009.
Abdul Karim menekankan bahawa kejohanan ini penting bukan sahaja untuk mempromosikan kesukanan, tetapi juga sebagai landasan membangunkan atlet muda.
“Acara ini akan membuka peluang kepada atlet-atlet muda untuk bersaing di peringkat serantau, sekali gus memperkuat pembangunan sukan di rantau ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan sukan akuatik melalui Pusat Akuatik Pandelela Rinong yang telah dikenali sebagai pusat melahirkan penerjun bertaraf antarabangsa.
“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersetuju bahawa Pusat Akuatik Pandelela Rinong dijadikan sebagai Pusat Kecermelangan Penerjun Kebangsaan.
“Hampir semua penerjun elit Malaysia berasal dari Sarawak. Kami akan terus memperkukuh pusat ini sebagai akademi penerjun terbaik negara,” tambah beliau.
Oleh SHAHRUL QAIZAT