BINTULU: Pelaksanaan dasar pemasangan alat Unit Pengesanan Bergerak (MTU) ke atas vesel Kelas C menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan nelayan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Seri Tiong King Sing berkata, dasar tersebut tidak mempertimbangkan keadaan sebenar nelayan yang kini tertekan dengan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, langkah seumpama itu menambah beban kewangan kepada nelayan.
“Kos pemasangan MTU sahaja melebihi RM6,000, diikuti bayaran penyelenggaraan tahunan sebanyak RM2,000.
“Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membantu meringankan beban ini?” katanya dalam satu kenyataan.
Tiong turut mempersoalkan sama ada Jabatan Perikanan telah mengkaji pola operasi nelayan Kelas C di Sarawak sebelum dasar ini diwajibkan.
“Adakah langkah ini benar-benar perlu, memandangkan insiden nelayan tempatan memasuki perairan asing secara tidak sengaja amat jarang berlaku?
“Bukankah lebih baik tumpuan diberikan kepada menangani pencerobohan vesel asing ke perairan negara?” soalnya.
Sebagai tanda protes terhadap dasar itu, lebih 200 vesel Kelas C di Sarawak telah menghentikan operasi selama seminggu bermula 2 Januari, menyebabkan kebimbangan mengenai potensi kekurangan bekalan ikan di pasaran.
Tiong turut mengingatkan bahawa sebarang kelewatan dalam menyelesaikan isu berkenaan boleh memberi kesan besar kepada pengguna terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
“Sekiranya masalah ini tidak ditangani segera, rakyat akan terpaksa menanggung kenaikan harga ikan akibat kekurangan bekalan di pasaran,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mengadakan dialog dengan nelayan bagi mencari penyelesaian yang lebih baik dan memastikan polisi yang dilaksanakan tidak menekan golongan tersebut.
Oleh Carolyne Utih