SIBU: Perkhidmatan bergerak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai di Pasar Sentral Sibu, pagi tadi.
Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau, berkata, pengunjung yang hadir untuk mendapatkan bantuan berhubung permohonan Kad Emas Kenyalang (KGC) dan Manfaat Kesihatan Warga Emas.
“Ya, program kami pada pagi ini telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai. Kami mendapati masih ramai yang belum memiliki Kad Emas Kenyalang dan tidak menyedari faedah yang disediakan melalui kad ini,” katanya kepada pemberita.
Perkhidmatan bergerak tersebut turut membantu orang awam mengemas kini maklumat dalam aplikasi Sarawak Pay Global mereka.
Beliau juga memberitahu, masih ramai pemohon tidak mengetahui keperluan untuk menyenaraikan pewaris dalam borang permohonan.
“Ini adalah cabaran utama yang kami hadapi, tetapi kami tetap membantu mereka melengkapkan borang dan akan membuat susulan bagi memastikan semua maklumat diperlukan diperoleh,” jelasnya.
Katanya, perkhidmatan bergerak SUPP Bawang Assan kebiasaannya dijalankan di kawasan luar bandar dan sekitar kawasan konsituensi mereka.
“Pada kali ini, kami memilih lokasi yang lebih strategik di Pasar Sentral Sibu. Kami mengambil inisiatif untuk membawa perkhidmatan ke lokasi tumpuan orang ramai dan membuka penyertaan kepada semua, tanpa mengira kawasan konsituensi.
“Matlamat utama kami ialah meningkatkan kesedaran mengenai Kad Emas Kenyalang dan Manfaat Kesihatan Warga Emas, serta membantu sebanyak mungkin individu,” kata beliau.
Katanya lagi, perkhidmatan bergerak tersebut turut bersedia menangani pelbagai isu komuniti.
“Penduduk boleh datang kepada kami jika mempunyai sebarang masalah berkaitan komuniti atau isu lain yang memerlukan perhatian.
“Setiap masalah yang dibangkitkan akan direkodkan, dan kami akan membuat susulan bagi membantu menyelesaikannya,” katanya.
Lau berkata, pasukan perkhidmatan bergerak terdiri daripada Ketua Masyarakat dan kaunselor dari Majlis Daerah Luar Bandar serta Majlis Perbandaran Sibu.
Oleh Akun Giman