KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dalam bentuk digital, bukan wang tunai bagi mengelak salah guna, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak menjelaskan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah ini bagi memastikan ia digunakan sepenuhnya untuk keperluan asas seperti membeli makanan dan barangan dapur.
Oleh itu katanya, inisiatif menerusi aplikasi e-dompet Sarawak iaitu SPay Global, yang sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay digunakan.
Bantuan itu melibatkan peruntukan RM464.5 juta dan dijangka memanfaatkan lebih 886,000 rakyat Sarawak.
“Seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), mereka memberi bantuan dalam bentuk wang tunai. Sepatutnya BR1M ini adalah untuk membeli barangan keperluan, tetapi mungkin digunakan untuk tujuan lain, akhirnya mereka masih juga sesak.
“Pendekatan digital ini mengelak penyelewengan seperti yang berlaku sebelum ini apabila bantuan tunai tidak digunakan untuk keperluan dapur.
“Dengan ini, sekurang-kurangnya setiap keluarga dapat memastikan makanan mencukupi di atas meja,” katanya selepas melawat Pusat Perkhidmatan Sarawak di Pusat Transformasi Bandar(UTC) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata program SKAS akan memanfaatkan 886,288 penerima, termasuk 410,529 isi rumah, 361,295 individu bujang, dan 114,464 warga emas tanpa pasangan dan anak.
“Isi rumah akan menerima RM800, golongan bujang RM250, dan warga emas tanpa pasangan RM400. Selain itu, mereka yang tidak tersenarai dalam bantuan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) tetapi memenuhi kriteria boleh memohon mulai 1 Februari hingga 31 Mac 2025,” katanya.
Abang Johari menegaskan, usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir, selain memanfaatkan kemajuan teknologi digital.
“Kita juga mahu semua rakyat Sarawak berdaftar dalam Sarawak ID untuk pengumpulan data yang lebih tepat, yang akan digunakan bagi memperbaiki dasar kerajaan dan meningkatkan pendapatan rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata pengenalan aplikasi e-dompet ini menjadikan Sarawak antara negeri pertama di Malaysia menggunakan teknologi digital untuk menyampaikan bantuan sedemikian.
Dalam lawatan itu, Abang Johari turut meminta jentera pentadbiran, termasuk pegawai daerah dan wakil rakyat, turun padang membantu penerima dalam mengakses aplikasi dan memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
“Jika ada masalah seperti telefon lama atau nombor telefon yang sudah bertukar, penerima boleh mendapatkan bantuan teknikal. Kejujuran dan integriti dalam penggunaan bantuan ini juga penting bagi memastikan manfaat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Setakat ini, 27 peratus bersamaan 244,000 daripada jumlah rakyat Sarawak yang layak menerima bantuan itu telah menebus SKAS menerusi aplikasi SPay Global.
Bantuan akan mula disalurkan ke akaun SPay Global penerima bermula bulan depan secara berperingkat.
Menurut Abang Johari, bagi mereka yang layak menerima, namun tidak tersenarai, mereka boleh memohon bermula 1 Februari sehingga 31 Mac di laman sesawang kerajaan Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Oleh SHAHRUL QAIZAT