BRIGHTON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, meluahkan rasa kecewanya dengan menegaskan bahawa dia tidak pernah melihat penalti kontroversi yang serupa seperti diberikan kepada Brighton menyebabkan mereka seri 1-1 awal pagi tadi sekali gus memberi tamparan kepada cabaran gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka.
Pemimpin liga, Liverpool, kini mendahului dengan kelebihan lima mata di hadapan Arsenal di tempat kedua dan mempunyai kelebihan satu perlawanan, sebelum pertembungan menentang Manchester United yang sedang bergelut di Anfield awal pagi nanti.
Tanpa beberapa pemain penyerang berbahaya mereka, pasukan Arteta mendahului pada separuh masa pertama hasil jaringan pemain berusia 17 tahun, Ethan Nwaneri.
Namun, dua mata yang amat penting hilang apabila William Saliba dihukum atas kesalahan pertembungan dengan Joao Pedro yang menyaksikan pemain Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan yang membawa kepada gol itu kerana saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini dalam hidup saya.
“Dia (Saliba) juga menyentuh bola,” kata Arteta.
Dengan bintang utama Bukayo Saka terpaksa berehat dua bulan akibat kecederaan hamstring, pilihan serangan Arsenal semakin berkurangan kerana kecederaan.
Kai Havertz turut tidak diturunkan dalam perlawanan kedua berturut-turut manakala kapten Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli hanya cukup cergas untuk beraksi sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Tanpa mereka, Nwaneri diberi peluang membuat penampilan kedua berturut-turut dan membuktikan dia salah satu bintang muda yang sedang meningkat naik di EPL dengan penyudah klinikal untuk gol pembukaan.
Namun, dia juga terpaksa digantikan oleh Martinelli pada separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan otot.
“Kami memberikan bola kepada lawan dan kami tidak mengambil peluang yang diberikan untuk menguasai permainan.
“Kami banyak melakukan perkara yang tidak mengikut standard dengan bola. Jadi, kami tidak mendapat momentum, kami tidak pernah berada di kawasan yang membolehkan kami menjana peluang,” katanya. – AFP