SEOUL: Pakar berpandangan pendaratan cemas bagi penerbangan Jeju Air 2216 dibuat dengan sangat mahir, namun kebakaran akibat impak pelanggaran dengan tembok menyebabkan hampir semua orang di dalam pesawat Boeing 737-800 itu terkorban.
Biarpun pasukan penyiasat Korea Selatan sedang mengenal pasti punca kejadian itu, AFP bagaimanapun tidak menolak kemungkinan demikian sebagai antara penyebab insiden terbabit.
Menara kawalan sudah mengeluarkan amaran mengenai pelanggaran dengan burung ketika pesawat dari Bangkok, Thailand menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, di barat daya Korea Selatan itu hampir mendarat.
Beberapa minit kemudian, juruterbang membuat panggilan kecemasan sebelum cuba melakukan pendaratan cemas dengan rakaman video menunjukkan pesawat itu mendarat di landasan tanpa mengaktifkan gear pendaratan.
Bercakap kepada AFP, bekas juruterbang, Kim Kwang-il, berkata impak perlanggaran dengan burung boleh menyebabkan kebakaran pada enjin dan merosakkan sistem kritikal yang mampu mengakibatkan gear pendaratan tidak berfungsi, sekali gus roda tidak keluar untuk memudahkan pendaratan.
Profesor Sains Aeronautik di Universiti Silla itu berkata, ‘pendaratan menggunakan bahagian badan’ adalah prosedur kecemasan bagi senario sedemikian dan pesawat direka untuk menahan keadaan dalam situasi kecemasan.
“Dalam kes ini, juruterbang melakukan pendaratan dengan sangat baik,” katanya sambil menyifatkan pesawat itu turun ‘seperti angsa mendarat dengan anggun di tasik, sedikit condong ke belakang untuk turun dengan lancar’.
Rakaman video menunjukkan pesawat itu melanggar penghalang, menyebabkan ia terbakar.
Hanya dua mangsa yang juga kru syarikat penerbangan itu berjaya diselamatkan, selepas ditarik keluar dari ekor pesawat.
Kwang-il juga mengakui ‘agak kesal’ melihat pesawat berlanggar dengan tembok, selain menyatakan struktur tidak sepatutnya dibina di situ, bertujuan membolehkan pendaratan cemas dibuat, selain menyelamatkan nyawa keseluruhan penumpang dan anak kapal.
“Sebahagian besar penumpang maut akibat halangan ini. Biarpun perlanggaran dengan burung atau takdir adalah punca utama, namun ia bertukar tragedi ekoran struktur ini,” katanya sambil berkata pesawat mungkin dapat meluncur ke hentian yang selamat, jika tiada halangan di situ.
Sementara itu, Timbalan Menteri Penerbangan Awam, Joo Jong-wan, berkata penghalang terbabit adalah ‘localizer’, iaitu ‘alat bantuan navigasi’.
Beliau berkata, tiada ‘reka bentuk standard’, selain tapak khusus untuk meletakkan peranti itu adalah berbeza, bergantung kepada lapangan terbang.
Di Muan, katanya, seperti beberapa lapangan terbang lain di Korea Selatan, ‘localizer’ diletak di atas ‘timbunan tanah dengan struktur konkrit dipasang di dalamnya.
“Hubungan antara ‘localizer’ dan kemalangan akan diteliti ketika siasatan dilakukan,” katanya.
Katanya, pelbagai langkah sudah diambil di lapangan terbang, bertujuan meminimumkan gangguan burung yang menjejaskan penerbangan, memandangkan Muan adalah kawasan paya yang popular dengan migrasi unggas.
“Ini termasuk penggunaan bahan penghalau burung, aktiviti menghalang burung, pemindahan habitat serta menyekat saluran perparitan bagi mengelakkan daya tarikan dalam lapangan terbang,” katanya.
Berdasarkan statistik Kementerian Tanah dan Perbadanan Lapangan Terbang Korea, selain lapangan terbang terbesar di Incheon, Muan mencatatkan kadar perlanggaran burung tertinggi berbanding 14 fasiliti lain di negara itu.
Sejumlah 0.09 peratus dengan sembilan pelanggaran burung bagi setiap 10,000 penerbangan, iaitu lima kali lebih tinggi berbanding lapangan terbang kedua Seoul, Gimpo direkodkan antara 2019 hingga Ogos lalu. – AFP