KUCHING: Setelah menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20, juara Dunia Pencak Silat, Abdul Latif Maxzakir kini menyasarkan pingat emas untuk Malaysia pada temasya SEA 2025 dari 9 hingga 20 Disember 2025 di Thailand.
Beliau baru sahaja menjuarai kejohanan itu di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 18 hingga 22 Disember lalu, selepas menumpaskan lawannya dari Vietnam, Nguyen Duy Tuyen dalam kategori Tanding Putra Kelas H Senior.
Berikutan itu, Abdul Latif kini berazam untuk memburu lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih, terutama kepada rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak, yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.
“Selepas ini, pada Sukan SEA 2025 di Thailand, saya akan menyasarkan pingat emas.
“Tempoh persiapan untuk menghadapi adalah selama setahun kerana temasya tersebut kemungkinan akan berlangsung pada Disember 2025.
“Selepas ini, latihan akan diteruskan, dan saya akan melaporkan diri pada 10 Januari depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, malam tadi.
Atlet kelahiran Sarawak itu turut menjelaskan bahawa beliau bertekad untuk mempertahankan kejuaraannya pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Belgium.
Untuk rekod, ini merupakan pingat emas kedua Mohd. Abdul Latif Maxzakir tahun ini, selepas kejayaannya dalam Kejohanan Pencak Silat Terbuka Uzbekistan 2024.
Pada masa sama, Malaysia telah menjulang gelaran Juara Dunia untuk beberapa kali sebelum ini menerusi atlet kelahiran Sarawak termasuk Ramlee Ahmad pada 1992 di Jakarta, Indonesia; Maxzakir Othman (1994, Hat Yai, Thailand) dan Abang Erdie (2004, Singapura).
Bagi kejohanan kali ini, skuad pencak silat kebangsaan berjaya membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.
Oleh Mohd Neenatul Aizal