BAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh mengadakan lawatan di pasar raya
LePapa, Siniawan bagi meninjau pematuhan pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP) Krismas.
Pengarahnya Matthew Dominic Barin berkata, pelaksanaan SHMMP berkuatkuasa bermula 23 Disember hingga 27 Disember 2024.
Jelasnya, sebanyak 14 jenis barangan harga terkawal yang akan diwartakan seperti ayam tua hidup, khinzir hidup (peringkat ladang sahaja), daging kambing, kubis bulat import, tomato, lada benggala hijau, ubi kentang, cili merah, bawang merah besar, bawang kuning besar, lobak merah, kepak ayam, daging khinzir (perut, daging dan lemak).
Menurutnya, SHMMP Krismas 2024 itu akan dikuatkuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Harga maksinum ini telah ditetapkan untuk SHMMP Krismas 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN,” katanya pada sidang media sempena lawatan skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP) Krismas 2024 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata KPDN Sarawak telah mengerakkan seramai 214 pegawai penguatkuasa dan 97 pegawai pemantau harga bagi memantau keberadaan bekalan dan pematuhan serta pemeriksaan di pasar awam di lokasi stategik di negeri ini.
“KPDN Sarawak juga akan terus memantau sepanjang masa bagi mengesan ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya dapat diambil tindakan yang sewajarnya,” tegasnya
Untuk rekod, KPDN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 76,853 premis sejak 1 januari 2024 sehingga 20 Disember 2024 yang menghasilkan sebanyak 798 kes dengan nilai kompaun RM 360,750 dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM22,713,690.87.
Justeru beliau menggesa kepada orang awam untuk memberi kerjasama untuk memaklumkan sebarang aduan melalui talian KPDN Sarawak.
Oleh Noor Ikmal