SARATOK: Seramai 350 orang penduduk menerima sumbangan berupa bakul makanan daripada Pertubuhan Amal Ji Yuan Shan She Saratok, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dan ADUN Krian, Friday Belik pada majlis penyerahan sumbangan amal dan program derma darah sempena sambutan Hari Krismas 2024 di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Min Syn dekat sini.
Mohamad Duri berkata kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat serta orang awam amat dialu-alukan bagi membantu masyarakat terutamanya di Daerah Saratok.
Beliau berkata gandingan yang erat di antara pihak berkenaan membolehkan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan.
“Pertubuhan Amal Ji Yuan Shan She Saratok sentiasa aktif mengadakan aktiviti kebajikan untuk membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Bukan sahaja membantu kaum Cina malah pertubuhan ini turut menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada kaum-kaum lain.
“Justeru, saya minta semua pihak menjadikan Pertubuhan Amal Ji Yuan Shan She Saratok ini sebagai ikutan dalam membantu kerajaan menangani kebajikan rakyat,” katanya.
Mohamad Duri berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha sedemikian yang dilihat cukup baik dalam membantu meringankan beban golongan sasar.
Beliau yakin dengan mencontohi usaha seperti dilakukan pertubuhan terbabit, sudah pasti kebajikan golongan yang memerlukan bantuan akan terus dijaga.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She, Pemanca Lim Guan Ann berkata penerima sumbangan bakul makanan itu terdiri daripada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban persiapan menyambut perayaan Krismas yang akan disambut Rabu ini.
Oleh ADI SAFARMAN