PETRA JAYA: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Tupong santuni 30 pelajar golongan B40 dari SK Matang, Padawan menerusi program Saberkas Prihatin: Kembali ke Sekolah yang diadakan di Mydin Tunku Vista, di sini, hari ini.
Melalui program ini, Saberkas membantu keluarga membeli barangan persekolahan seperti kasut sekolah, alat tulis, pakaian seragam dan bag.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Matang, Mohamad Fariz Junaidi dalam ucapan perasmiannya, menyatakan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, atas inisiatif dan keprihatinan yang meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.
“Alhamdulillah, dengan ada sumbangan ini, ia bukan sahaja membantu ibu bapa dari segi kewangan, malah dapat memberikan semangat dan keceriaan kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan nanti,” katanya.
Beliau juga berharap program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan lebih ramai murid mendapat manfaat.
Fazzrudin, yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dan Pengerusi Saberkas Cawangan Tupong, hadir bersama Timbalan Setiausaha Agung Saberkas Negeri, Nizam Khalyd, dan Guru Besar SK Matang, Suraya Abdul Wahap.
Program ini turut mendapat sokongan pihak Mydin Vista Tunku, yang menyumbang dalam menjayakan majlis tersebut.
Dalam ucapannya, Yang Dipertua PIBG turut menitipkan pesanan kepada pelajar agar memanfaatkan bantuan ini dan terus berusaha keras dalam menimba ilmu.
“Jangan mudah mengalah kepada kesulitan hidup, kerana setiap titisan air hujan yang jernih datangnya dari awan yang gelap,” katanya
Oleh SHAHRUL QAIZAT