SEOUL: Korea Selatan melaporkan 46 kes baharu Covid-19, semalam selepas pihak berkuasa kesihatan menyatakan negara itu sedang berdepan gelombang jangkitan kedua sejak beberapa minggu lalu.
Korea Selatan sebelum ini antara negara yang terjejas teruk akibat wabak itu di luar China tetapi kerajaan negara itu dapat mengawal penularan itu menerusi program ‘kesan, uji, rawat’ yang dilakukan secara menyeluruh tanpa melakukan perintah berkurung.
Peraturan penjarakan sosial dilonggarkan setelah cuti umum pada awal Mei lalu dan negara sejak itu kembali normal.
Tetapi pada bulan lalu, terdapat sekitar 35 hingga 50 kes jangkitan positif Covid-19 dilaporkan sehari, kebanyakannya di kota metropolitan Seoul yang didiami kira-kira 24.5 juta penduduk.
“Kami percaya gelombang kedua sedang berlaku bermula pada Mei lalu,” kata Pengarah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, Jung Eun-kyeong.
Pegawai kesihatan sudah mengadakan semula beberapa langkah jarak sosial pada akhir Mei berikutan kelompok baharu di Seoul, dan kebanyakan kes yang dilaporkan dalam seminggu terakhir adalah jangkitan domestik.
Daripada 46 kes baharu yang dilaporkan hari ini, ia menjadikan jumlah kes keseluruhan jangkitan Covid-19 kepada 12,484 kes, termasuk 30 adalah orang yang tiba dari luar negara.
Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon memberi amaran semalam, ibu kota itu perlu kembali kepada langkah penjarakan sosial yang ketat jika jumlah jangkitan di kota itu meningkat 30 setiap tiga hari.
Sekiranya ibu kota itu gagal mengatasi tren transmisi jangkitan Covid-19 semasa, jumlah kes harian dapat mencapai ‘sekitar 800 kes’ dalam satu bulan.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengatakan pada Selasa bahawa dia ‘yakin’ virus itu ‘masih dapat dikendalikan’.
“Kita sudah lalui pada lima bulan lalu… anda dapat mencegah jangkitan virus jika mematuhi arahan kawalan pencegahan dan garis panduan ditetapkan kerajaan,” katanya. – AFP