LIMBANG: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak meminta pihak berkuasa memberi perhatian isu perumahan polis di sini.
Pengerusi CUEPACS Sarawak, Jubilee Jineh berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menaik taraf dan memperbaiki perumahan atau berek yang daif itu.
Menurutnya, isu tersebut perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam memastikan kebajikan anggota dan ahli keluarga mereka sentiasa terjaga.
“Saya ingin membawa perkara (isu kuarters polis daif) untuk pengetahuan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
”Kita telah melawat, memang kita nampak usang dan mohonlah Datuk Hasbi memikirkan bagaimana kita mengatasi masalah tersebut,” katanya pada majlis Makan Malam Segulai Sejalan CUEPACS Negeri Sarawak di sini malam tadi.
Cadangan menaik taraf kediaman polis Limbang pernah disuarakan wakil rakyat di daerah itu untuk dimasukkan dalam Bajet Persekutuan dan Rancangan Malaysia ke-11 terdahulu.
Pada masa ini, keadaan kuarters lama agak usang selain mengalami masalah kebocoran atap sehingga menyebabkan anggota polis tidak selesa tinggal dalam kemudahan tersebut.
Selain kuarters Polis Limbang, rombongan CUEPACS Negeri Sarawak turut mengadakan lawatan ke Jabatan Penyiaran Malaysia Limbang dan Klinik Pergigian Limbang.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Presiden Dua CUEPACS, Azman Shah Abdul Rahman dan Pengurus Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Limbang Muhamad Zakwan Yusof.
Oleh ADENG EDRUS