SKRANG: Misteri kehilangan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang ketika hendak pergi ke kebun sejak Rabu lalu, dalam kejadian di Rumah Jack, Pais, Skrang terus menjadi tanda tanya kerana masih belum ditemui sehingga hari ini.
Hari ini merupakan hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dapam usaha mencari Jijah Sanggah, 66, yang kekal menjadi misteri kehilangannya.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata SAR pencarian hari ini meliputi lingkungan radius 3 hingga 5 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Namun, SAR pada hari ini mendapati ada penemuan baharu iaitu kesan tapak kaki oleh anggota penyelamat. Namun tidak dapat disahkan tapak kaki siapa.
“Pencarian meliputi radius 3 hingga 5 km dari hulu dan hilir sungai hingga ke daratan dan turut melakukan kaedah pencarian di permukaan air sungai menggunakan dua bot penyelamat polis dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari hilir ke hulu sungai,” katanya.
Muhammad Rais berkata komander operasi SAR sebelum itu telah membuat pembahagian tugas kepada empat pasukan dan tumpuan kepada penemuan lokasi terakhir barang milik mangsa dijumpai iaitu bekas bekal dan parang.
“Pada sebelah petangnya, pencarian dilakukan dalam anggaran radius 4km iaitu sekitar laluan Kampung Pais Lama dari kawasan tersebut serta melibatkan pencarian di Sungai Skrang menggunakan bot polis dan APM.
“Anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut bersama dengan pasukan pencarian di darat,” katanya.
Namun, Muhammad Rais berkata sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan bersambung semula esok.
Dalam pada itu, SAR hari keempat telah diperkuatkan seramai lima anggota bomba, empat anggota polis, lima anggota APM, 11 anggota Unit Keselamatan Penguatkuasan Sarawak (UKPS), dua anggota Unit K9 Bomba dan 30 penduduk kampung.
Oleh ADI SAFARMAN