LIMBANG: Kejadian tanah susur berlaku berdekatan sebuah pasar raya di bandar ini berikutan hujan lebat berterusan dan tidak menentu sejak beberapa hari lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapt. (PA) Bonnie Madisun berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang membuat pemantauan tanah susur akibat hujan lebat berkala di lokasi terbabit.
Jelasnya pemantauan dijalankan sepasukan anggotanya diketuai Koperal (PA) Mohd Arif Midun bermula jam 9 pagi.
“Sepasukan anggota membuat pemeriksaan di kawasan tanah runtuh dan terus membuat penglabelan garisan keselamatan bagi mengelakan orang awam meletakan kenderaan di kawasan tersebut sehingga kerja baik pulih dilakukan.
“Insiden tanah susur itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menasihatkan penduduk di daerah ini agar lebih berwaspada dan peka dengan sebarang bencana alam.
Beliau berkata ini berikitan berlaku kejadian tanah susur yang agak serius dikesan berhampiran sebuah pasar raya di bandar Limbang.
Menurutnya selain di kawasan bandar, penduduk di kawasan rumah panjang dan penempatan yang berhampiran lereng bukit perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita hendaklah berhati-hati dengan insiden tanah susur khususnya di penempatan yang berdekatan dengan lereng bukit termasuk rumah panjang dan kawasan bandar,” katanya.
Hasbi berkata penduduk perlu sentiasa berwaspada dengan masalah banjir susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Insiden tanah susur dan banjir yang dihadapi penduduk perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa dan bilik operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pejabat Daerah Limbang untuk tindakan dan bantuan penyelamatan.
Oleh ADENG EDRUS