PETRA JAYA: Mahkamah Kuching melanjutkan reman suspek kes pembunuhan Nurul Asikin Lan selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan, selepas tempoh remannya tamat hari ini.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuching, Nursyaheeqa Nazwa Radzali membenarkan lanjutan permohonan reman yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching, ASP Tan Kian Kok.
Baru-baru ini, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Tabuan Jaya, milik Nurul Asikin Lan.
Menurutnya, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Terdahulu, Nurul Asikin dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama suspek yang baru dikenalinya.
Lelaki berusia 23 tahun iaitu suspek utama yang ditahan pada 14 Disember lalu, membawa polis ke lokasi pembunuhan dan menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek mengaku terdesak memerlukan wang untuk menyaksikan saingan Malaysia-Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Kemboja sebagai motif pembunuhan.
Katanya, suspek mengaku mengambil barang kemas yang digunakan oleh mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
Barangan kemas itu digadai sebagai perbelanjaan suspek yang ingin menyaksikan perlawanan bola sepak itu di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu.
Dalam pada itu, jenazah Nurul Asikin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada Khamis lalu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal