BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing akan menyalurkan geran khas kepada Kelab Badminton Daerah Meradong sebanyak RM5,000.
Katanya, geran khas tersebut adalah untuk melaksanakan pelbagai program tahunan pada 2025.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pertandingan Badminton Muda Daerah Meradong Beregu Lelaki Bawah 12 Tahun bertempat di Dewan Masyarakat Bintangor semalam.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kelab Badminton Daerah Meradong kerana berjaya melahirkan ramai pelapis pemain badminton berbakat.
“Saya berharap mereka akan sentiasa mengharumkan nama Daerah Meradong di setiap pertandingan badminton yang disertai,” katanya.
Koung Hiing turut memuji perancangan dan pembangunan Kelab Badminton Daerah Meradong yang amat teratur kerana ia sentiasa utamakan peningkatan corak pemain muda di gelanggang.
“Semoga kelab badminton ini terus bergerak maju dan menempa pelbagai kejayaan di masa hadapan.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Meradong, saya sentiasa memberi sokongan penuh agar mereka akan melahirkan ramai lagi pemain pelapis berbakat di Daerah Meradong,” katanya.
Turut hadir ialah Penaung Kelab Badminton Daerah Meradong, Chieng Buong Ong dan Pengerusi Kelab Badminton Daerah Meradong, Ung Sing Kiong.
Oleh Earl Anek